Isnin, 3 Februari 2014

PRK Kajang : SPR Selar Kenyataan Tim. Menteri

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyelar kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang mahu membabitkan kes rayuan Liwat II Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan video seks seorang lelaki menyerupainya sebagai modal kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang tidak lama lagi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), yang menganggap perbuatan itu menyalahi peraturan pilihan raya, berkata SPR akan memantau tempoh berkempen selain meminta tiada sebarang unsur provokasi dilakukan sepanjang tempoh itu.

“Perkara itu belum pun lagi berlaku tetapi kita ada peraturan. Fitnah, pembohongan, memalukan dan mengaibkan tidak dibenarkan. Kita akan pantau.

“Perkara ini saya lihat lebih kepada serangan peribadi dan ia tidak dibenarkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata pengundi di Kajang perlu diingatkan bahawa calon PKR adalah seorang yang dibebani kes mahkamah yang belum selesai.

Katanya, Anwar tidak boleh menghalang sesiapa jua yang mahu menggunakan kontroversi berkenaan sebagai modal berkempen kerana kes liwat pemimpin pembangkang itu belum selesai.

“Persepsi terhadap beliau masih ada tentunya sebab dia belum disahkan Mahkamah Rayuan dan selepas itu belum lagi disahkan di Mahkamah Persekutuan.

"Jadi, dia tak boleh menghalang sesiapa untuk bercerita bahawa dia adalah seorang yang masih lagi mempunyai kes di mahkamah,” katanya dilapor Malaysiakini.

Ahmad menyeru jentera pilihan raya Umno melipat gandakan usaha bagi mendedahkan wajah sebenar Anwar.

"Kes video belum selesai, kes liwat belum selesai. Jadi, lepas itu pergi ke masjid, orang masjid pun dengar, orang masjid pun fikir, dia ini dah lepas. Tak betul. Dia ini belum lepas. Saya sebut ini tentang fakta.

"Masuklah dalam Malaysiakini, The Malaysian Insider ke, kalau nak highlight apa yang saya sebut ini benar,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Anwar Dijangka Menang Besar Di Kajang

SHAH ALAM: Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) menjangkakan Calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memperolehi majoriti yang lebih besar berbanding PRU-13 lepas.

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar), berkata isu dalaman yang berlaku dalam PKR tidak akan mempengaruhi undi kepada Ketua Umum PKR itu.

Katanya, kehadiran pemimpin itu sebagai calon di DUN Kajang adalah penyelesaian kemelut isu terbabit.“Isu krisis dalaman parti itu tidak memberi kesan kepada pengundi di Kajang, malah beliau akan menang dengan majoriti yang besar.

“Mengikut kajian sejak 1999, pilihanraya adalah perkara yang ditunggu rakyat, tidak ada soal tidak suka atau sebaliknya,” katanya memetik laporan Umdecel.Dalam laporan itu juga memaklumkan, isu dalaman PKR perlu diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Beliau berkata tindakan terbabit juga membabitkan Putrajaya, sehubungan itu wajar meletakkan Anwar di DUN Kajang untuk menyelesaikan kemelut yang akan mencetuskan pelbagai masalah di negeri itu masa depan.

Anwar diumumkan menjadi calon DUN Kajang oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas Adunnya, Lim Chin Cheh meletak jawatan.Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, PKR menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. - Selangor Kini

PRK Kajang : Anwar Hanya Akan Dilantik Sebagai Exco Kerajaan Selangor ???

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Selangor yang sering disebut bertujuan mengukuhkan barisan kepimpinan negeri hanya layak diberikan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco).

Beliau berkata, kedudukan Anwar sebagai exco Selangor memadai atau setidak-tidaknya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bukannya sebagai menteri besar.

“Saya difahamkan pilihan raya adalah untuk memperkukuh saf kepimpinan di Selangor dengan penglibatan Anwar paling kurang sebagai Adun. Paling maksimum pun sebagai exco.

“Persoalan untuk menjawat jawatan menteri besar, beliau (Anwar) tidak berhak menentukan seorang diri. Anwar perlu rujuk dan mendapat persetujuan daripada ketiga-tiga parti,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Seorang peguam terkemuka, Tommy Thomas yang mempunyai 38 tahun pengalaman dalam bidang undang-undang berkata, tidak akan wujud krisis perlembagaan di Selangor jika Anwar mahu menjadi menteri besar seperti yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.

Katanya, sebagai pemerintah berpelembagaan, Sultan Selangor “tidak mempunyai tangan bebas” dalam memilih menteri besar, memetik Artikel 51 dan 53 perlembagaan negeri.

Artikel 51 (2) menyatakan bahawa calon “mesti berbangsa Melayu dan beragama Islam” sementara Artikel 53 (4) memperuntukkan bahawa Sultan Selangor boleh menggunakan budi bicaranya dengan peruntukan dalam perlembagaan seperti Artikel 51 (2) yang menyekat pilihannya.

Khalid berkata, selaku Adun atau pun exco, Anwar boleh mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan negeri dan memberi penjelasan berkaitan sesuatu isu berbangkit sekiranya mempunyai jawatan dalam kerajaan Selangor.

“Anwar ada pengalaman. Sebagai Adun atau exco, beliau boleh berjumpa dengan pegawai yang terlibat memberikan penjelasan. Sekarang ini, beliau tidak ada ‘locus standi’ (hubungan kuat). Beliau bukan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri. Bagi saya tidak ada ruginya.