Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyelar kenyataan Ketua
Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang mahu membabitkan kes rayuan
Liwat II Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan video seks
seorang lelaki menyerupainya sebagai modal kempen Barisan Nasional (BN)
dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang tidak lama lagi.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), yang menganggap
perbuatan itu menyalahi peraturan pilihan raya, berkata SPR akan
memantau tempoh berkempen selain meminta tiada sebarang unsur provokasi
dilakukan sepanjang tempoh itu.
“Perkara itu belum pun lagi berlaku tetapi kita ada peraturan. Fitnah,
pembohongan, memalukan dan mengaibkan tidak dibenarkan. Kita akan
pantau.
“Perkara ini saya lihat lebih kepada serangan peribadi dan ia tidak dibenarkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Semalam, Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata pengundi
di Kajang perlu diingatkan bahawa calon PKR adalah seorang yang dibebani
kes mahkamah yang belum selesai.
Katanya, Anwar tidak boleh menghalang sesiapa jua yang mahu menggunakan
kontroversi berkenaan sebagai modal berkempen kerana kes liwat pemimpin
pembangkang itu belum selesai.
“Persepsi terhadap beliau masih ada tentunya sebab dia belum disahkan
Mahkamah Rayuan dan selepas itu belum lagi disahkan di Mahkamah
Persekutuan.
"Jadi, dia tak boleh menghalang sesiapa untuk bercerita bahawa dia
adalah seorang yang masih lagi mempunyai kes di mahkamah,” katanya
dilapor Malaysiakini.
Ahmad menyeru jentera pilihan raya Umno melipat gandakan usaha bagi mendedahkan wajah sebenar Anwar.
"Kes video belum selesai, kes liwat belum selesai. Jadi, lepas itu
pergi ke masjid, orang masjid pun dengar, orang masjid pun fikir, dia
ini dah lepas. Tak betul. Dia ini belum lepas. Saya sebut ini tentang
fakta.
"Masuklah dalam Malaysiakini, The Malaysian Insider ke, kalau nak
highlight apa yang saya sebut ini benar,” katanya seperti dilapor
Malaysiakini.
Dalam mengulas kenyataan Ahmad, Abdul Aziz menggesa semua pemimpin
politik agar menasihatkan pengikutnya agar tidak melakukan sebarang
bentuk provokasi.
Katanya, apa yang lebih membimbangkan adalah apabila penyokong parti
politik cendrung melanggar peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan
pada hari penamaan calon.
“Kami boleh memberikan kawalan tetapi parti politik perlu memberikan kerjasama untuk menasihati pengikut mereka.
“Kebanyakan mereka ini, cakap lain, buat lain. Semasa hari penamaan
calon diingatkan adalah dilarang memberikan ceramah politik dan
menggunakan pembesar suara,” katanya yang meminta segala bentuk
keganasan yang pernah berlaku dalam PRK sebelum ini tidak diulangi.
Sebelum ini, Naib President PKR N. Surendran mendesak SPR mengutuk
kempen Umno itu selain meminta Najib memberikan penjelasan berhubung
kenyataan Ahmad.
Katanya, Abdul Aziz perlu lebih pro aktif dalam mempertahankan integriti proses pilihan raya.“Kegagalan SPR berbuat demikian membuktikan mereka ‘tidak bertaring’
dan cenderung menyebelahi BN,” kata Ahli Parlimen Padang Serai itu.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan