Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata kehadiran Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Selangor yang sering disebut
bertujuan mengukuhkan barisan kepimpinan negeri hanya layak diberikan
jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco).
Beliau berkata, kedudukan Anwar sebagai exco Selangor memadai atau
setidak-tidaknya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bukannya
sebagai menteri besar.
“Saya difahamkan pilihan raya adalah untuk memperkukuh saf kepimpinan
di Selangor dengan penglibatan Anwar paling kurang sebagai Adun. Paling
maksimum pun sebagai exco.
“Persoalan untuk menjawat jawatan menteri besar, beliau (Anwar) tidak
berhak menentukan seorang diri. Anwar perlu rujuk dan mendapat
persetujuan daripada ketiga-tiga parti,” katanya seperti dilaporkan
akhbar Sinar Harian.
Seorang peguam terkemuka, Tommy Thomas yang mempunyai 38 tahun
pengalaman dalam bidang undang-undang berkata, tidak akan wujud krisis
perlembagaan di Selangor jika Anwar mahu menjadi menteri besar seperti
yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.
Katanya, sebagai pemerintah berpelembagaan, Sultan Selangor “tidak
mempunyai tangan bebas” dalam memilih menteri besar, memetik Artikel 51
dan 53 perlembagaan negeri.
Artikel 51 (2) menyatakan bahawa calon “mesti berbangsa Melayu dan
beragama Islam” sementara Artikel 53 (4) memperuntukkan bahawa Sultan
Selangor boleh menggunakan budi bicaranya dengan peruntukan dalam
perlembagaan seperti Artikel 51 (2) yang menyekat pilihannya.
Khalid berkata, selaku Adun atau pun exco, Anwar boleh mengadakan
pertemuan dengan pegawai kerajaan negeri dan memberi penjelasan
berkaitan sesuatu isu berbangkit sekiranya mempunyai jawatan dalam
kerajaan Selangor.
“Anwar ada pengalaman. Sebagai Adun atau exco, beliau boleh berjumpa
dengan pegawai yang terlibat memberikan penjelasan. Sekarang ini, beliau
tidak ada ‘locus standi’ (hubungan kuat). Beliau bukan sebahagian
daripada pentadbiran kerajaan negeri. Bagi saya tidak ada ruginya.
“Persoalan jawatan menteri besar ditimbulkan hanya untuk menakutkan
orang ramai khususnya bukan Melayu. Kalau hendak kekalkan Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, tentukan Anwar kalah, mereka
(Barisan Nasional) menjadikan Abdul Khalid sebagai ikon pula,” katanya.
Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yakin Sultan
Selangor akan melantik Anwar sebagai menteri besar Selangor sekiranya
beliau menang dan mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali, berkata Perkasa tidak
melihat undang-undang yang boleh menggagalkan hasrat Pakatan Rakyat (PR)
untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar Selangor.
"Sultan punya kuasa. Tapi biasanya raja dalam Malaysia ini tidak mahu secara langsung mencampuri politik," katanya.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan