Permintaan untuk lanjutan masa bagi memfailkan rayuan terhadap sabit
kesalahan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak mahkamah, kata ketua
undang-undang PKR, Latheefa Koya (gambar ) .
Beliau berkata, Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebaliknya
meminta Anwar untuk memfailkan permohonan formal, termasuk notis usul,
bagi meminta lanjutan masa bagi memfailkan alasan rayuan.
"Ini berlaku meskipun mereka tahu esok merupakan hari terakhir untuk memfailkan petisyen itu," katanya.
Latheefa berkata beliau diberitahu tentang hal ini daripada seorang
peguam daripada firma guaman mendiang Karpal Singh yang terbunuh dalam
kemalangan di lebuh raya pagi Khamis lepas.
Karpal merupakan peguam utama yang mewakili Anwar di Mahkamah Tinggi
dan Mahkamah Rayuan dalam tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful
Bukhari Azlan pada 2008.
"Ia dianggap sangat tidak bertimbang rasa dan tidak simpati ke atas kematian Karpal," kata Latheefa.
"Nampaknya Mahkamah Persekutuan nekad untuk mempercepatkan rayuan, dan
ini dapat dilihat dalam kengganan mereka untuk memberi lebih masa kepada
Anwar," katanya.
Semalam, Ramkarpal Singh yang terlibat bersama Karpal dalam kes liwat
itu berkata beliau sudah menulis kepada Mahkamah Persekutuan untuk
meminta lanjutan masa bagi memfailkan rayuan untuk kes itu.
"Beliau berharap untuk mendapat jawapan hari ini tentang sama ada
mahkamah akan mengizinkan masa dua minggu untuk memfailkan alasan
rayuan," katanya.
Mahkamah Rayuan menghantar alasan rayuan kepada firma guaman Karpal pada 16 April, yang memberikan mereka masa 10 hari.
Karpal, 73, terbunuh dalam kemalangan lebuh raya pada 17 April dengan
pembantunya Michael Cornelius di KM301.6 di Lebuhraya Utara Selatan
berdekatan Kampar, Perak.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke
atas Anwar selepas membenarkan rayuan Putrajaya untuk mengetepikan
pembebasan Mahkamah Tinggi.
Anwar tetap dengan pendiriannya yang dakwaan ke atasnya semuanya bertujuan untuk membantutkan kerjaya politiknya.
Putrajaya sudah memfailkan rayuan balas untuk mendapatkan hukuman lebih berat bagi Anwar yang berusia 66 tahun itu.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan