Sumber gambar DISINI
Rasuah, pembaziran melampau kerajaan dan pelaksanaan Cukai Barangan
dan Perkhidmatan (GST) antara isi ceramah yang ditekankan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dalam siri ceramah di
Sungai Limau malam tadi.
Bagaimanapun, Anwar tidak menolak pelaksanaan GST, tetapi mempersoal
kaedah ia dilakukan yang didapati tidak kena pada masanya kerana masalah
kebocoran dan ketirisan dalam kerajaan masih belum diatasi.
"GST adalah sebuah sistem yang baik dan saya akuinya. Tetapi, sebelum
melaksanakannya, kerajaan terlebih dahulu perlu menangani isu rasuah,
pembaziran melampau yang merugikan jutaan bilion ringgit, wang rakyat
dan memperbaiki kualiti taraf hidup rakyat," katanya kepada penduduk
Sungai Limau yang hadir ke ceramahnya di Simpang Tiga Luar.
Anwar kemudiaan membidas pembaziran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
menghabiskan RM1.6 juta untuk membawa tiga kumpulan artis K- pop
mengadakan persembahan sempena Hari Belia pada tahun lalu.
"Mereka habiskan berjuta untuk konsert itu. Ini yang kami katakan,
kerajaan berbelanja besar," katanya merujuk kepada pendedahan oleh
Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini mengenai pembiayaan
konsert tersebut oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Selain itu, Anwar menyentuh isu dibangkitkan pengundi Sungai Limau yang
terdiri daripada petani sawah padi iaitu antaranya ialah berkait dengan
harga padi.
"Kerajaan tidak boleh melaksanakannya sekarang kerana harga padi masih
tidak berubah. GST tidak boleh dilaksanakan dalam situasi ketika ini."Ini hanya akan menindas rakyat," katanya.
Terdahulu, Anwar menyampaikan tazkirah di surau, menjelajah untuk
berceramah di beberapa kampung dalam Sungai Limau serta menyeru mereka
untuk membuat pilihan yang tepat pada 4 November nanti.
"Kita perlu berikan isyarat kepada mereka bahawa ya mereka kaya, mereka
mempunyai stesen media, mereka boleh bawa jentera besar, tapi masa
depan anda bukan ditentukan oleh mereka."Ia dalam tangan kamu semua," katanya.
Kehadiran Anwar di Sungai Limau menyebabkan kesesakan lalu lintas di Dulang Kecil, Dulang Besar dan Sungai Limau Luar.
Situasi tersebut memaksa Anwar membatalkan beberapa penampilannya malam
semalan di Dulang Kecil, sebuah kawasan yang merupakan kubu kuat BN.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kosong selepas wakil
rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul
Razak meninggal dunia pada 26 September lalu.
Azizan adalah penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995.
Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu
antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan calon PAS, Mohd Azam Abd
Samat. Hari membuang undi adalah pada 4 November ini. - 2 November
2013.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan