KUALA LUMPUR 28 MEI: Suatu rombakan akan dilakukan dalam pentadbiran
Selangor dalam masa terdekat dan akan menyaksikan Setiausaha Agung
KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dibawa masuk ke dalam
pentadbiran negeri dan dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab
menjaga hubungan politik parti komponen Pakatan Rakyat, menurut sumber.
Lapor Sinar Harian
hari ini, sumber juga memberitahu, persetujuan antara Ketua Umum
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Khalid Ibrahim telah dicapai dalam satu perbincangan minggu lalu.
“Mungkin Rabu akan bincang rombakan kecil itu, Saifuddin akan jaga
hal hubungan politik di Selangor serta untuk memantapkan Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14),” kata sumber kepada Sinar Harian.
“Beliau ditugaskan untuk gerakkan mobilisasi jentera ke kawasan luar
bandar bagi mengatasi Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh nak
rampas Selangor semula pada PRU 14 nanti,” sumber itu dipetik.
Dikatakan, Saifuddin akan berperanan memberi wajah baru kepada
Selangor supaya imej negeri ini lebih dikenali sebagai sebuah negeri
Pakatan dan bukan lagi kubu kuat BN.
“Bukan saja ‘rebranding’ itu kepada kakitangan awam negeri bahkan
kalau boleh bangunan kerajaan dan infrastuktur di Selangor pun dicat
dengan warna lain, bukan lagi warna biru,” katanya.
Dalam PRU 13, Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu,
Kedah di tangan Datuk Aziz Sheikh Fadzir, bekas Naib Ketua Pemuda Umno.
Sebelum itu, Saifuddin merupakan Ahli Parlimen Machang, Kelantan dalam penggal lalu.Pada PRU 5 Mei lalu, Pakatan memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang
diperoleh pada 2008.
KEADILAN menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. BN pula memenangi 12 kerusi.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan