Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini
memberi bayangan kemungkinan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri
(DUN) Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Menurutnya, keputusan itu belum diputuskan parti memandangkan pembubaran Parlimen masih menjadi teka-teki.
Beliau ditemui di Shah Alam selepas penyampaian sumbangan kepada balu
dan waris wira negara yang terkorban di Lahad Datu, Sabah ditanya
mengenai desas-desus akan bertanding di DUN pada PRU kali ini.
Wan Azizah yang dikaitkan dengan DUN Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ditanya mengenai perkara itu.
“Saya layak untuk bertanding DUN, tapi perkara ini masih dalam
perbincangan tidak formal, tapi untuk kerusi Parlimen tidak,” katanya.“Di kawasan mana untuk bertanding kita kena buat perbincangan,” jelas beliau.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebelum ini menyatakan berhak
memilih mana-mana DUN untuk bertanding, tetapi keputusan masih terletak
kepada kuasa parti.
Pada PRU 2008, Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen
Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon BN, Datuk
Pirdaus Ismail.
Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi
laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan
raya kecil kawasan itu. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan