Khamis, 15 November 2012

Mesir dan Turki digesa bantu Palestin

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengadakan himpunan aman mengecam tindakan Israel melakukan serangan ke atas Gaza, semalam yang mengorbankan tujuh nyawa.

Kumpulan itu berkumpul di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, petang ini, sebagai langkah awal menyatakan bantahan kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Presiden Gamis, Mohd Azan Safar, berkata pihaknya mendesak kerajaan Mesir dan Turki untuk menghantarkan bantuan kepada Palestin, selain menuntut Wisma Putra menyatakan pendirian yang tegas berkaitan isu Palestin itu.

Sehubungan itu, katanya Gamis berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan Mesir dan Turki bagi tujuan tersebut.

"Tarikh dan masanya belum kita putuskan lagi, tapi kita akan lakukan dalam tempoh terdekat.  Kita juga merancang untuk mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat, yang dikaitkan sebagai rakan baik Israel sebagai tanda bantahan kami," tegas beliau di hadapan kira-kira 30 orang mahasiswa.

Dalam pada itu, Gamis turut menuntut agar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera bertindak untuk menghentikan kezaliman terhadap Gaza.

Gamis juga akan mendesak Wisma Putra untuk menyatakan pendirian yang tegas berkaitan serangan terbaru Israel itu, memandangkan setakat piket ini dilakukan belum ada respons daripada Wisma Putra.

Selain Azan, turut berucap pada piket tersebut ialah Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Afif Zulkifli; dan Setiausaha Sekretariat Pendakwah Muda Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Mohd Hanif Abdul Jalil.Himpunan aman itu berlangsung kira-kira satu jam dan diakhiri dengan bacaan doa.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan