KOTA BHARU, 11 April: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh secara terbuka menyatakan sokongan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 bagi memastikan pilihan raya lebih adil dan telus.
“Kita mahu peranan media lebih adil dan bebas. Begitu juga dengan penggunaan jentera dan kakitangan kerajaan ketika pilihan raya tidak boleh disalahgunakan. Kita mahu pilihan raya benar-benar adil dan bebas.
“Malah ia selaras dengan tuntutan Angkatan Amanah Merdeka. Jadi saya serah kepada ahli-ahli Amanah untuk hadir pada perhimpunan tersebut pada 28 April ini,” kata Tengku Razaleigh menjawab soalan penonton pada Bicara UT6 – PRU-13 Perjuangan dan Amanah di Kelantan Trade Centre malam tadi.
Program itu anjuran bersama www.uttv.biz turut diadakan pelancaran Amanah peringkat negeri Kelantan. Dr Zayadi dilantik sebagai pengerusi Amanah Kelantan.
Bekas veteran Umno Ketereh, Sabri Shafei bertindak sebagai moderator. Turut hadir veteran Umno, Datuk Mazlan Harun dan Tamrin Ghaffar. Dewan konvensyen penuh dengan gabungan antara penyokong Umno, PAS dan PKR. Malah ramai yang datang dari Gua Musang.
Perhimpunan Bersih 3.0 akan diadakan pada 28 April ini ekoran banyak pihak tidak berpuas hati terhadap tuntutan Bersih 2.0 tak diterima kerajaan sepenuhnya biar pun Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwujudkan bagi tujuan tersebut.
Seorang penonton tiba-tiba meneriakkan Tengku hendak pergi ke.. Tengku Razaleigh menjawab itu terpulang kepada ambo hendak pergi atau tidak pada perhimpunan tersebut.
Program Biacara UT6 sendat dengan pelbagai isu menarik yang berlaku sekarang. Seorang anak muda mengajukan soalan agak panas dengan menanyakan bilakah Ku Li dan Dr Zayadi mahu meninggalkan Umno memandangkan parti itu didedah mereka sarat pelbagai penyelewengan.
Dr Zayadi yang pernah dilucut jawatan sebagai Exco Umno Malaysia selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha dilakukan Bersih 3.0.
“Siapa yang takut kepada Bersih bermakna dia itu kotor. Begitu juga kalau ada orang takut kepada Amanah dia itu khianat. Jadi tidak ada sebab untuk tidak menyokong Bersih 3.0,” ujarnya.
(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan