Rabu, 11 April 2012

Hutang PTPTN hanya RM24.7 bilion bukan RM43 bilion

KUALA LUMPUR 11 April: Dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya kerajaan akan menanggung RM43 bilion jika pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan, adalah satu pembohongan besar, kata Pengarah Starategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli.

Menurut beliau, jumlah pinjaman yang dibayar kepada peminjam sehingga 2011 adalah RM27.5 bilion, manakala jumlah pinjaman yang dikutip sehingga 31 Disember 2010 sebanyak RM2.2 bilion dan anggaran yang dikutip pada 2011 adalah RM0.6 bilion.

“Setelah ditolak RM27.5 bilion dengan RM2.2 bilion dan RM0.6 bilion bermakna jumlah hutang yang ditanggung kerajaan hanya RM24.7 bilion dan bukan RM43 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat pada program Runding Cara: PTPTN dan Masa Depan Pembiayaan Pendidikan Tinggi di Shah Alam, semalam.

Pada 7 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menanggung RM43 bilion jika pinjaman PTPTN dimansuhkan.Najib mendakwa sekiranya PTPTN dimansuhkan ia akan menjadi beban kepada kerajaan.

Selain itu beliau mendakwa salah satu negara yang memberi pendidikan percuma adalah Norway tetapi negara itu mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyatnya.

Mengulas perkara itu, Rafizi berkata, walaupun negara luar mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyatnya, mereka tidak perlu membayar banyak cukai  tidak seperti di Malaysia yang mengenakan pelbagai cukai dalam ‘diam’.

“Sebagai contoh saya pernah tinggal di United Kingdom dan memang di sana cukai agak tinggi. Cukai dikenakan adalah 40 peratus ditambah dengan 10 peratus insuran nasional, tapi apa bezanya, pertama tidak ada satu perkhidmatan yang perlu saya bayar, tidak ada tol, tiada cukai perkhidmatan dan segala-galanya percuma.

“Walaupun cukai ditolak awal-awal daripada pendapatan, baki pendapatan yang kita ada itu kita masih boleh mmebeli kereta BMW, cukup untuk kita tinggal di kondominium. Sebab itu tidak timbul isu cukai yang tinggi.

“Apa bezanya dengan kita, kebanyakan kita tidak membayar cukai… tetapi kita dikenakan cukai tol, cukai kereta yang tinggi di dunia. Tidak ada negara yang cukai kereta 100 peratus… ubat di hospital kerajaan pun kena cukai,” katanya.Keadilandaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan