Selasa, 10 Januari 2012

Pakatan Rakyat kecam penggantungan Adam Adli

PETALING JAYA: Penggantungan sesi pelajaran pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim rata-rata dikecam oleh komponen parti Pakatan Rakyat.Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar merangkap ahli Parlimen Lembah Pantai mengkritik tindakan UPSI  sebagai tindakan membudayakan ketakutan di kalangan golongan muda.

“Tindakan menggantung pendidikan Adam Adli ini adalah tindakan yang opresif, bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa dari menyuarakan pandangan mereka.

“Kalaupun suatu kesalahan telah dilakukan, tindakan yang diambil haruslah bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda.

Beliau berkata begitu di dalam satu kenyataan media berkaitan penggantungan sesi pendidikan Adam selama 18 bulan oleh UPSI.Adam merupakan tokoh pelajar yang menurunkankan bendera potret presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak ketika protes mahasiswa menuntut kebebasan akademik.

Merendahkan maruah UPSI

Nurul turut menuduh jawatankuasa disiplin universiti tersebut merendahkan maruah UPSI dengan mengenakan hukuman berat kepada Adam.

“Sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang. Di manakah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jika bukan di universiti?

“Maka secara implikasinya, jawatankuasa disiplin yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Adam semalamlah yang sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri, yang mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaysia mengecapi kemerdekaan.”

Sementara itu Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang menyifatkan alasan hukuman terhadap Adam sebagai “tidak benar, menindas dan bersifat kolot.

`Si pemprotes’

Bendahari DAPSY Pulau Pinang Steven Sim Chee Keong, berkata: “Di masa dunia mengakui peranan “Si Pemprotes” sebagai pemacu pembaharuan sosial seperti di negara-negara Timur Tengah dan Afrika di mana orang awam yang rata-ratanya anak muda seperti Adam Adli telah melumpuh dan menumpaskan rejim-rejim kuku besi di negara mereka.

“Hanya rejim kuku besi sahaja yang akan takut dan mengambil pendekatan menghukum terhadap tindakan protes aman seperti yang dilakukan oleh Adam Adli dan rakan-rakan.

“Tindakan pihak universiti menghukum Adam Adli sebenarnya telah mencemar nama baik institusi pengajian tinggi yang tertua di Malaysia tersebut, dengan para alumninya seperti Ibrahim Yaacob dan (Zainal Abidin Ahmad yang lebih terkenal sebagai) Pendita Za’ba yang begitu lantang mengemukakan kritikan terhadap kezaliman dan kepincangan semasa, termasuk terhadap pihak pemerintah,” tambah beliau.

DAPSY Pulau Pinang turut menggesa UPSI menarik balik keputusan tersebut dan membebaskan institusi pendidikan negara daripada cengkaman politik partisan yang sempit dan hanya berpihak kepada pemerintah tanpa kritis.

Sementara itu, timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berharap Adam akan membuat rayuan terhadap penggantungan tersebut.“Tindakan demonstrasi pelajar ini aktiviti biasa saja. Jadi saya harap dia akan buat rayuan.”FMT

1 ulasan:

  1. Adam dan rakan2 berjuang utk satu kebebasan akademik yang akan dimanfaatkan olih semua warga pelajar dan tenaga pengajar.
    Apakah kebebasan akademik ini tak diperlukan olih Institusi pengajian tinggi?
    Setakat kini Adam tidak dikenakan sebarang tindakan undang2 tetapi UPSI mendahuluinya. Kenapa?
    Apakah Adam dan kawan2nya menjatuhkan maruah UPSI?
    Dalam hal ini sebenarnya maruah UPSI adalah didalam longkang najis.
    Adam digantung kerana memperjuangkan hak semua warga universiti! Adam berani kedepan untuk mengganti tenaga pengajar yg penakut dan pengampu.
    Yang paling bermaruah di UPSI sekarang adalah Adam dan rakan2nya.
    Yang tak bermaruah sekarang adalah Jawatankuasa disiplin UPSI.

    BalasPadam