KUALA LUMPUR, 31 Jan - PAS menolak tanggapan dan spekulasi tentang
kemungkinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan turut
dipecat, sebagaimana nasib Hasan Ali, berikutan keengganan beliau
campur tangan dalam isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti
Insaniah (KUIN) dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan PAS bukanlah
satu parti yang akan memecat ahli sewenang-wenangnya, lagipun isu
melibatkan Azizan dan Hasan jauh berbeza.
"PAS bukan satu parti yang mengamalkan budaya suka memecat
ahli dan pemimpinnya. Itu mainan politik media arus perdana kerajaan,
yang hanya melihat siri pemecatan dari PAS. Jadi, tidak mengamalkan
budaya pecat orang, bukan menjadi amalan dan budaya suka pecat orang
atau mengambil tindakan disiplin ke atas seseorang.
"Ia hanya dibuat pada waktu-waktu dan ketika yang cukup
kritikal. Jadi saya rasa ini hanya mainan media untuk menggambarkan
perkara-perkara negatif mengenai PAS," katanya dipetik Sinar Online.Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian ini lagi, isu Azizan
hanyalah menyentuh berkenaan teknikal, berkenaan pelaksanaan AUKU di
KUIN, manakala Hasan Ali melibatkan penentangan dasar parti secara
terbuka.
"Isu Hasan Ali melibatkan penentangan beliau terhadap
parti dan dasar parti, dan menggunakan media musuh untuk menyerang
parti. Jadi, saya rasa ia harus dibezakan."Datuk Azizan isu teknikal sahaja. Kita harus melihat dari perspektif yang berbeza daripada isu Datuk Hasan Ali," katanya lagi.
Laporan The Malaysian Insider semalam menyebut, Umno Kedah
mempertahankan tindakan Azizan yang enggan tunduk terhadap desakan PR
yang mendesak supaya Menteri Besar itu campur tangan dalam isu "KUIN
lima."
Tegas Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah,
tindakan Azizan enggan campur tangan dalam urusan pentadbiran KUIN
adalah tepat sambil menambah AUKU masih lagi releven digunakan walaupun
Pakatan Rakyat dan kumpulan mahasiswa mahu ia dimansuhkan.
Beliau menambah, Azizan mempunyai kuasa untuk melaksanakan
AUKU di Kedah dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan pemimpin
pembangkang.
Pada Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti berkenaan
dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati bersalah terlibat
dalam demonstrasi bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang
dibuat di kediaman Ar-Razi, KUIN.
Mereka membantah pembinaan tersebut kerana dilihat tidak
strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran
mahasiswa tahfiz.Pelajar-pelajar yang dikenakan tindakan gantung pengajian
ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof,
Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.
Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu
mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu. Kes itu akan
disebut pada 12 Mac depan.Selain mendapat kecaman dari kumpulan mahasiswa, Azizan
turut dikritik pemimpin Pakatan Rakyat kerana masih melaksanakan AUKU
walaupun pembangkang mahu memansuhkannya seperti yang terdapat dalam
Buku Jingga.
Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari pula mencadangkan agar Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan.Tambah Ahmad Bashah, percanggahan pendapat dalam isu AUKU itu membuktikan Pakatan Rakyat tidak sepakat seperti yang dinyatakan.
Ahmad Bashah juga tidak menolak kemungkinan Azizan bakal
mengikuti jejak bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali yang
dipecat keanggotaan awal bulan ini kerana bertentangan dengan dasar
parti.
Bagaimanapun, Azizan semalam berkata, lima pelajar KUIN
yang dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian adalah
berdasarkan peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya AUKU, seperti yang
didakwa kebanyakan pihak.
Sehubungan itu, pengerusi KUIN ini menasihatkan pihak luar
supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti tersebut kerana
tidak mahu ianya menimbulkan kekeliruan.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan