Rabu, 28 September 2011

Mahkamah benar Bersih cabar pengharaman

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Mahkamah Tinggi membenarkan Bersih 2.0 untuk mencabar keputusan kerajaan mengharamkan gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya itu awal Julai lalu.

Dengan mengetepikan permohonan Peguam Negara agar membatalkan permohonan Bersih, mahkamah menetapkan 22 November ini untuk mendengar kes tersebut.

“Ini penting memandangkan ia membolehkan kepentingan publik didengar di mahkamah terbuka,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan kepada pemberita selepas bertemu dengan hakim di kamarnya.

Kes itu didengar oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf.

Pada 8 Julai, 14 anggota jawatankuasa pemandu pergerakan itu termasuk Ambiga mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Kesemua anggota berkenaan antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai yang mengisytiharkan gerakan Bersih sebagai pertubuhan haram dan memerintahkan pembatalannya berkuat kuasa serta-merta.

Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said yang mewakili responden berkata beliau akan mendapatkan arahan pihak atasannya sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini atau sebaliknya.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan