“Penghapusan kuota Bumiputera ini adalah satu pengkhianatan Umno kepada orang Melayu dan bukan masanya perkara ini dilakukan,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Noor kepada Harakahdaily.
Katanya, jika kuota dihapuskan, apa lagi yang tinggal sedangkan baki yang ada dari 30 peratus dahulu sebenarnya hanyalah tinggal 12.5 peratus sahaja.
Menurutnya, rakyat tidak lupa bahawa pada 2009, Najib jugalah orang yang bertanggungjawab menurunkan kuota ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.
Katanya, demi merealisasikan Model Ekonomi Baru (MEB) Kuota Bumiputera dimangsakan, sedangkan banyak lagi perkara lain yang belum dilakukan Umno sepanjang hampir 12 penggal pemerintahannya.
Tambahnya, kegagalan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di Jabatan Perdana Menteri memainkan peranannya menunjukan bahawa Perdana Menteri dan Umno tidak serius dalam menjaga hak dan kepentingan orang Melayu.
“Cadangan mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) juga hanyalah satu helah untuk menunjukan bahawa mereka telah melakukan sesuatu sedangkan MTEM ini hanyalah dianggotai oleh ahli-ahli yang bernaung dalam Biro Ekonomi Umno yang terus menerus diberikan projek-projek khas oleh agensi Kerajaan,” ujarnya lagi.
Justeru, tegasnya DPPM menyeru agar rakyat dan NGO khususnya kalangan Melayu bangkit menentang dasar itu.
“Jangan biarkan Presiden Umno sekarang menggadai kepentingan Melayu demi meraihkan pelaburan asing dan juga meningkatkan kekayaan kroni-kroni beliau,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya rakyat wajib menolak Umno BN dalam pilihan raya akan datang jika mahu negara ini tidak digadaikan oleh pengkhianat.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan