TASEK GELUGOR, 25 Julai: Bukan saja pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak mempercayai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak( gambar ), malah bekas pimpinan Barisan Nasional (BN) sendiri telah menunjukkan sikap tersebut terhadap kepimpinan beliau.
Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata demikian, ketika berucap dalam majlis penerangan anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Permatang Buloh, malam tadi.
Menurut beliau lagi, tindakan bekas pimpinan BN menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan jelas membuktikan pimpinan Najib bukan saja tidak diyakini dikalangan pimpinan Umno dan BN, tetapi juga penyokong parti tersebut sebelum ini.
"Jika bekas menteri seperti Ong Tee Keat, Tengku Razaleigh dan beberapa pimpinan lain berani bersama organisasi seperti Amanah untuk menzahirkan pandangan mereka secara positif mengenai tindakan menyimpang kerajaan, maka adalah tidak salah bagi rakyat juga untuk menyatakan ketidak puasan mereka.
"Amanah juga menjadi satu lagi tamparan kepada kepimpinan Najib, apabila beliau sering mendabik dada menyatakan sokongan yang diterimanya adalah padu baik dari kalangan pimpinan BN kini, dulu dan selamanya," ujarnya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.
Malah katanya begitu banyak kelemahan dalam pentabdiran Najib menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan di atas reputasi beliau sebagai Perdana Menteri.
"Air Asia juga telah dipindahkan ibu pejabatnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Bukankah ini juga suatu lagi krisis keyakinan yang menimbulkan persepsi yang pelbagai rakyat terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.
"Penangkapan peguam Perancis, William Bourdon pada 22 Julai baru-baru ini, juga sesuatu yang memalukan negara. Apa yang hendak ditakutkan oleh kerajaan sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan.
"Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah, sehingga menyebabkan tindakan mencemarkan nama negara itu terpaksa diambil oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN," tegasnya lagi.
Beliau juga berkata, Najib sepatutnya jangan begitu takut kepada bayang-bayang beliau sendiri diatas segala kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan selama memerintah negara.
AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula berkata, menyokong Umno dan BN bererti rasuah akan terus bermaharajalela dan berleluasa dalam negara.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, sejarah telah membuktikan bagaimana rasuah bermaharajalela di Perak apabila usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dilakukan oleh BN.
"YB Sivakumar dijanjikan habuan sebanyak RM30 juta jika sanggup menjadi katak seperti yang lain. Manakala YB Yunus pula turut dijanjikan ganjaran sebanyak RM20 juta jika sanggup melompat.
"Ini adalah sejarah hitam yang menjadi nostalgia dan memori hitam dalam sejarah negeri Perak, walaupun ianya telah berlalu. Sejarah tetap menjadi sejarah yang tidak boleh diubah.
"Seribu satu macam kerosakan, pemborosan, pembaziran, penyelewengan, koruspsi, skandal yang diterajui oleh Umno dan BN berada di puncak sebagai parti nombor satu menguasai keburukan dan kemungkaran," tegasnya.
Beliau juga berkata, berdasarkan kepada begitu banyak bukti yang ada, Umno dan BN layak untuk dilabelkan sebagai parti rasis, pengkhianat bangsa Melayu, perasuah dan parti video seks.
"Oleh kerana itu, masyarakat jangan pula terpedaya dengan bikinan video terbaru selepas ini, yang akan memaparkan pelakon baru dan lama bikinan Umno dan BN, melalui skrip lama yang diolah oleh pengarah baru menjelang pilihan raya umum yang akan datang, " jelasnya lagi.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan