Isnin, 7 Mac 2011

Pemuda PAS mahu temukan Tok Guru Nik Aziz-Harussani


KUALA LUMPUR, 7 Mac — Dewan Pemuda PAS Perak mahu mengaturkan satu pertemuan tertutup antara Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung “perang kenyataan” menyentuh isu-isu Islam baru-baru ini.

Harussani baru-baru ini dilaporkan menasihatkan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, agar tidak menggunakan hukum agama untuk meraih undi kerana dibimbangi mengelirukan umat Islam.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak Mohd Munir Ali berkata, pertemuan itu untuk membincangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam yang menjadi perbualan hangat masa kini.

Dipetik Harakahdaily, Munir menggariskan hasrat itu dalam surat yang dihantar kepada Harussani hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS negeri merasakan sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Kata beliau langkah itu penting ekoran acap kali pertembungan terbuka antara Mufti Perak itu dengan Nik Abdul Aziz dipaparkan melalui media, terutama dalam melibatkan isu-isu agama.

Tambahnya, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

“Kami juga yakin Datuk Nik Aziz akan bersedia menerima jemputan bagi tujuan tersebut supaya tiada lagi persengkataan terbuka dan masing-masing akan terus dapat memberikan tumpuan pada agenda memartabatkan Islam di dalam ruang lingkup tugas yang diamanahkan,” ujarnya di dalam surat itu.

Sehubungan, ujarnya Dewan Pemuda PAS Perak memohon agar mufti itu dapat memberikan tarikh-tarikh yang sesuai dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pihak Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagi tujuan tersebut.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan