Khamis, 6 Mei 2010

Sultan Kelantan mohon mahkamah benar rawatan di luar negara

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra dijangka mengambil tindakan undang-undang untuk membolehkan baginda menerima rawatan susulan di luar negara, kemungkinan di Singapura.
Peguam Sultan Kelantan Mohd Haaziq Pillay berkata pihaknya sedang menyediakan kertas berkaitan untuk memfailkan permohonan.
“Ya, sah kertas-kertas sedang disediakan, saya akan memaklumkan kemudian,” kata beliau dalam respons e-mel kepada The Malaysian Insider hari ini.
Dalam pada itu, laporan awal hari ini menyebut Sultan Kelantan yang awalnya dijangka dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) telah ditangguhkan sehingga tarikh baru kelak.
“Terpaksa ditangguh atas beberapa faktor terutamanya kesihatan dan keselamatan,” kata satu sumber yang dihubungi kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan dengan tepat tarikh baru penerbangan baginda.
Baginda dijadual menaiki pesawat untuk ke HKL 2.30 petang tadi tetapi tertangguh.
Baginda berada di HUSM sejak malam kelmarin setelah kunjungannya ke Singapura untuk lawatan susulan terhalang.
Tengku Temenggong mendakwa pesawat untuk membawa Sultan Kelantan ke Singapura dihalang pihak tertentu.

Kereta Rasmi Ketua Polis Selangor Dicuri

SHAH ALAM: Kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dilaporkan hilang di tempat letak kereta berhadapan sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah 9/H, Seksyen 9 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Noor Azam Jamaludin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.15 pagi tadi ketika kereta jenis Proton Perdana V6 berwarna hitam diletakkan di kawasan letak kereta berhampiran restoran itu semasa pemandu terbabit sedang menikmati sarapan pagi.

"Laporan polis dibuat oleh pemandu terbabit pada kira-kira pukul 10 pagi dan usaha untuk mengesan kereta tersebut sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Noor Azam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Khalid bagaimanapun tiada di tempat kejadian ketika kecurian berlaku kerana berada di Singapura atas urusan kerja.Mstar

Kenyataan hasutan: Adun BN Pulau Pinang dirujuk jawatankuasa hak


PULAU PINANG, 6 Mei — Ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kerana didakwa melanggar peraturan dewan apabila menyebut perkataan yang disifatkan sebagai berunsur hasutan.
Usul untuk merujukkan Azhar (BN-Penaga) ke jawatankuasa itu dicadangkan oleh Jagdeep Singh (DAP-Datok Kramat) dan disokong oleh lebih 10 anggota penyokong kerajaan.
Jagdeep semasa mengemukakan usul itu berkata ketua pembangkang itu melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.
Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain yang meluluskan usul itu berkata, notis usul mengenai tindakan itu akan dihantar kepada Azhar.

Kit Siang sokong cadangan PAS saman kerajaan persekutuan

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyokong penuh cadangan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa untuk memfailkan saman kepada kerajaan persekutuan berikutan penyerahan sempadan laut mengandungi dua medan minyak Blok L dan M di Laut China Selatan kepada Brunei.

Beliau dalam blognya berkata, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan itu tepat dan wajar sebagai usaha melindungi hak generasi masa depan rakyat Sarawak, Sabah dan Malaysia sendiri.

Semalam Husam yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, mencadangkan agar diambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan persekutuan berikutan pengambil-alihan kawasan perairan laut bersempadanan dengan Negara Brunei.

Sehubungan itu, Kit Siang berkata beliau akan mencadangkan Husam mengetuai Jawatankuasa Khas Pakatan Rakyat bagi menyaman Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat ketua-ketua Pakatan Rakyat akan datang.

Isteri kedua jumpa Sultan Kelantan di HUSM

KOTA BARU, 6 Mei — Elia Suhana Ahmad, isteri kedua Sultan Kelantan yang sebelum ini mendakwa dihalang daripada menemui baginda muncul di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam tadi.
“Ada, kat (di) atas bersama beberapa orang, mungkin pembantunya.
“Tapi saya tidak pasti sama ada dia (Elia) dapat jumpa tuanku atau tidak,” kata seorang anggota pengawal keselamatan yang ditemui di pekarangan pintu masuk HUSM.
Elia diiringi empat pembantu dilihat memasuki pintu masuk utama HUSM kira-kira pukul 10.45 malam tadi secara tidak langsung telah mengejutkan banyak pihak.
Elia dan Tuanku Ismail Petra disahkan berkahwin pada 31 Dis 2007. Bagaimanapun beliau dinafikan hak lawatan semasa baginda sedang menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak Mei tahun lalu.

Polis pertingkat kawalan keselamatan Sultan Kelantan


KOTA BAHARU, 5 Mei — Polis diarahkan meningkatkan kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang sedang menjalani rawatan susulan masalah jantung di Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berikutan kejadian seorang pengawal keselamatan istana ditembak Sabtu lepas.
Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan kepada Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan Sultan lebih terjamin.
Ini berikutan insiden pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang cedera parah di dada akibat ditembak empat das oleh suspek yang tidak dikenali pada 1 Mei lalu, katanya.
“Berdasarkan titah-titah arahan tersebut, maka bermula 4 Mei pihak polis telah meningkatkan kawalan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.