Khamis, 6 Mei 2010

Isteri kedua jumpa Sultan Kelantan di HUSM

KOTA BARU, 6 Mei — Elia Suhana Ahmad, isteri kedua Sultan Kelantan yang sebelum ini mendakwa dihalang daripada menemui baginda muncul di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam tadi.
“Ada, kat (di) atas bersama beberapa orang, mungkin pembantunya.
“Tapi saya tidak pasti sama ada dia (Elia) dapat jumpa tuanku atau tidak,” kata seorang anggota pengawal keselamatan yang ditemui di pekarangan pintu masuk HUSM.
Elia diiringi empat pembantu dilihat memasuki pintu masuk utama HUSM kira-kira pukul 10.45 malam tadi secara tidak langsung telah mengejutkan banyak pihak.
Elia dan Tuanku Ismail Petra disahkan berkahwin pada 31 Dis 2007. Bagaimanapun beliau dinafikan hak lawatan semasa baginda sedang menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak Mei tahun lalu.

Lantaran penafian itu beliau memfailkan tuntutan hak tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah di sini melalui peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Pada 4 Feb lalu Hakim Syarie Mohd Yusof Awang mengeluarkan perintah membenarkan Elia melawat baginda antara setiap Sabtu hingga pagi Isnin berikut.
Ketika itu, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid menemani Sultan Ismail Petra sejak baginda dibawa ke HUSM dua hari lepas.
Kawalan rapi pasukan keselamatan turut ditempatkan di kawasan hospital berkenaan.
Difahamkan, Elia yang berada di luar negara pulang setelah mendapati Tuanku Ismail dimasukkan ke hospital.
Sultan Ismail dibawa ke HUSM bagi mendapatkan rawatan susulan setelah keberangkatannya untuk menyambung rawatan susulan di Singapura dua hari lepas telah dipertikaikan.
Baginda ditempatkan di wad diraja HUSM yang terletak di tingkat lapan bangunan hospital tersebut.
Sementara itu, Fakhrul Azman yang dihubungi lewat malam tadi memberitahu beliau tidak mengetahui perkembangan tersebut.
“Tak pasti pula saya, sebab saya sekarang berada di Kuala Lumpur.
“Elia tidak maklumkan kepada saya, mungkin ada pihak yang sudah boleh membantunya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ia tidak menjadi masalah kalau tidak dirujuk kepada beliau terlebih dahulu sebab perintah mahkamah membenarkan Elia melawat baginda masih sah.
Dalam pada itu, wakil media yang menunggu sehingga pukul 2 pagi tadi hampa apabila dimaklumkan Elia keluar melalui pintu belakang HUSM.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan