KUALA LUMPUR : Mahasiswa juga berhak dan tidak seharusnya disekat daripada menyertai sebarang aktiviti kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor 25 April ini kerana mahasiswa juga mempunyai kuasa untuk meyuarakan pendapat mereka.
“Mahasiswa juga boleh memberi kritikan kepada pemerintah Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini. Mereka berhak memberi pendapat dan pandangan mereka dan biarkan rakyat sendiri yang membuat keputusan,” jelas Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution yang membantah amaran Menteri Pengajian Tinggi kepada mahasiswa agar tidak terbabit dengan kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Menurut beliau, seharusnya mahasiswa tidak perlu diugut dengan pelbagai sekatan yang ada untuk mereka menyampaikan mesej dan pendapat mereka kepada rakyat di Hulu Selangor.
Saifuddin Nasution melihat tindakan mahasiswa tidak mendatangkan masalah dan kerunsingan sekiranya mahasiswa ingin melibatkan diri dalam PRK Parlimen Hulu Selangor kerana itu merupakan hak demokrasi untuk mahasiswa.
“Universiti adalah tempat masyarakat berilmu dan sudah tentu kefahaman mereka tentang sesuatu perkara mantap dan baik.
“Jika masih wujud penafian hak maka ia tidak seharusnya digelar sebagai sebuah universiti,” kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam Forum Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia : Peranan Mahasiswa yang telah mempertemukan ahli-ahli politik dan mahasiswa setelah hampir 20 tahun forum berbentuk politik seperti ini dikuburkan daripada universiti tempatan.
Forum yang disertai oleh Saifuddin Nasition, Salehuddin Ayub, Loke Siew Foke dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang diadakan di Universiti Malaya telah menghimpunkan mahasiswa dari pelbagai Institut Pendidikan Tinggi (IPT) untuk berbicara mengenai peranan mahasiswa dalam menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.
CONTOH ARAHAN DARI PIHAK UNIVERSITI KEPADA PELAJAR LIHAT DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan