Satu memorandum mendesak PAS Selangor keluar daripada Pakatan Rakyat akan diserahkan dan bakal diterima oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
Difahamkan, perhimpunan itu digerakkan oleh Umno atas nama kepentingan Melayu.
Tidak menghairankan sangat jika perhimpunan itu dianjurkan oleh Umno. Parti itu memang sawan jika PAS mampu bekerjasama erat dengan DAP dan PKR. Cuma, kalau perhimpunan itu dianjurkan oleh orang PAS sendiri, atau mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat, ini adalah masalah besar yang wajib dirungkai segera.
Katakan, memang benar Umno yang menganjurkannya, apa sikap PAS Selangor terutama Hassan Ali?
Ini adalah perangkap, mangsa mereka adalah Hassan. Silap haribulan Hasan masuk perangkap ini. Hassan mesti menunjukkan ketegasannya. Persetiaan PR wajib dipertahankan.
Jangan melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan keraguan parti-parti sahabat bahawa agenda yang diriuhrendahkan sebelum ini masih belum mati sepenuhnya. Ini sangat penting.
Kepada Hassan, disarankan supaya jangan sama sekali menerima memorandum daripada penganjur perhimpunan itu. Biar siapa pun penganjur perhimpunan itu. Biarkan mereka melalak dan melalut.
Biarkan apa pun kata mereka. Lebih baik kita mengecewakan hanya beberapa orang yang bakal menyertai perhimpunan itu daripada kita mengecewakan jutaan rakyat yang meletakkan harapan kepada PR untuk mengganti BN.
Biar siapa pun penghantar memorandum itu, Hassan mesti tegas, jangan menerimanya. Kalau Hassan menerimanya, penganjur perhimpunan itu mendapat kemenangan awal.
Menerima memorandum itu dikira melanggar persetiaan PR kerana tujuan memorandum itu adalah jelas, mendesak PAS keluar daripada PR. Menerima memorandum itu boleh dikira mengkhianati persetiaan itu. Mengkhianati persetiaan tidak pernah diajar oleh agama.
Hassan tidak rugi apa-apa jika memorandum itu tidak diterimanya, bahkan itulah tindakan bijak untuk mengecewakan pengajur perhimpunan itu.
Pendirian ini adalah penting, jangan anggap remeh. Ini bukan masanya untuk melayan, menunjuk baik, melahirkan kemesraan, ‘open minded’, atau apa lagi…, terhadap mereka yang berniat jahat.
Menerima memorandum desakan untuk keluar PR sama seperti menerima memorandum desakan supaya dibenarkan orang Islam tidak solat Subuh.
Meninggalkan solat Subuh dan mencabuli persetiaan tidak pernah diajar oleh agama. Menerima memorandum mengenai perkara itu dikira mengiktiraf bahawa desakan meninggalkan solat Subuh dan mencabul perjanjian adalah boleh atau dibenarkan untuk dibuat.
Meninggalkan solat Subuh tidak boleh, mengemukakan memorandum untuk membenarkan tidak solat pun tidak boleh, dan menerima memorandum itu pun tidak boleh.
Hal ini sama sahaja kedudukannya dengan memorandum mendesak PAS keluar daripada PR.
Hassan, jangan terima memorandum itu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan