KUALA TERENGGANU, Dis 26 — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz antara dua tokoh politik berbeza parti akan ditemukan dalam debat royalti.
Debat anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) itu dijangka diadakan akhir bulan depan.
“Mengikut perancangan kita selewat-lewatnya akhir Januari depan,” kata pengerusi Gegar, Dr Abdul Halim Yusof di sini.
Katanya, dua tokoh tersebut dipilih memandangkan penyaksian hangat mereka ketika menegakkan hujah masing-masing berhubung perkara berkenaan sebelum ini.
Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini isu berkenaan menjadi perbahasan hangat apabila Nazri menafikan tuntutan tersebut mendorong Salahuddin mempelawa Nazri berdebat bagi mencari titik pertemuan.
Nazri menyahut cabaran Salahuddin dengan berkata “pada bila-bila masa dan di mana sahaja.”
“Bagaimanapun itu bukan fokus utama kita, sebaliknya kita lihat dari aspek kemampuan,” katanya.
Ketika menjawab keyakinan sesi debat dapat membantu merungkai masalah terbabit Abdul Halim berkata pendedahan hujah bersama fakta adalah objektif utama peringkat awal usaha ke arah tersebut.
“Sekurang-kurangnya minda rakyat lebih terbuka dalam menilai antara hak dan batil,” ujarnya sambil menyatakan debat tersebut mungkin akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Baru.
Gegar adalah badan NGO dilancarkan awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.
Sementara itu pengerusi bersama Gegar, Mohd Fauzi Abu Samah menegaskan wang royalti wajar dibayar berasaskan komitmen Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak pada 12 Dis 1975 di Parlimen
yang menyebut bahawa kerajaan bersetuju untuk membayar wang tersebut kepada negeri yang berhak mengikut perjanjian 1975.
Pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 yang menetapkan negeri mempunyai hak zon eksklusif ekonomi menjangkau jarak 200 batu nautika.
Fauzi menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana melebihi jarak ukuran tiga batu nautika.
Kenyataan Najib merujuk kepada Akta Pelantar Benua 1966 “ukuran melebihi tiga batu nautika seperti dalam Akta Pelantar Benua 1966 adalah tidak relevan malah mengelirukan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti.
“Itu akta darurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum belum wujud,” tegas Fauzi.
Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar jarak tiga batu nautika.
Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di Perairan Laut China Selatan berbanding Kelantan 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand.
Fauzi turut bertegas Kerajaan Persekutuan hendaklah menegakkan konsep federalisme yang menekankan kepentingan hubungan harmoni antara kerajaan pusat dan negeri setelah bidang kuasanya ditetapkan dalam perlembagaan negara.
Katanya, amalan federalisme negeri yang berada dalam persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan.
TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan