Sabtu, 22 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Pemimpin Umno saling salah menyalah

BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos: Umno yang disifatkan tersilap meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir terus berada dalam dilema untuk menghadapi serangan bertubi-tubi dari pihak lawan terhadap calon berkenaan.


Sehingga hari keempat berkempen parti itu dilihat masih berada dalam situasi bertahan - apabila kempen-kempen penerangan mereka yang melibatkan pimpinan dari pelbagai peringkat terpaksa memberi tumpuan untuk menjawab serangan ke atas calon mereka, Rohaizat yang menjadi isu utama modal kempen di pihak PAS setakat ini.

Dalam perkembangan terbaru, sumber dalaman Umno mendedahkan isu keperibadian Rohaizat Othman calon) kini menjadi masalah dalaman kepada Umno apabila para pemimpin mereka mula menunding jari sesama sendiri atas kesilapan memilih Setiausaha Umno Permatang Pauh itu sebagai calon.

Menurut sumber tersebut, dalam satu mesyuarat Umno yang diadakan semalam (Jumaat) berlaku salah menyalah antara Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

"Muhyiddin tunding jari pada Zahid kerana tidak periksa latar belakang calon betul-betul, Zahid pula seperti salahkan Jalil kerana dikatakan tidak memaklumkan kepada beliau.... Jalil pula cuba mengelak dengan pelbagai alasan lagi," kata sumber tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasation juga mengesahkan turut mendapat maklumat daipada beberapa orang dalam Umno perihal salah menyalah antara pemimpin Umno ekoran pemilihan Rohaizat sebagai calon.

Berucap dalam ceramah kelompok di Kampung Petani, Saifuddin berkata masalah tersebut bertambah parah apabila bekas Presiden Umno Tun Mahathir Mohammad turut mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Rohaizat.

Umno di peringkat awal masih cuba untuk menutup isu tersebut melalui penjelasan para pimpinannya bagaimanapun perkembangan demi perkembangan yang berlaku di Permatang Pasir teruamanya kemunculan Yusri Isahak yang berceramah dipentas PAS semakin menyukarkan parti itu.

Yusri merupakan rakan kongsi Rohaizat dalam bidang guaman yang cuba disalahkan berhubung penggunaan wang koperasi pekebun getah oleh firma guaman mereka.

Yusri muncul dihari ketiga berkempen untuk menjelaskan perkara sebenar serta membersihkan namanya - satu tindakan yang semakin memberi tekanan kepada Umno.

Saifuddin mengulas lanjut perkembangan tersebut berkata, pimpinan Umno sepatutnya tidak perlu tunding menunding antara satu sama lain kerana rekod kesalahan moral Rohaizad sebenarnya telah didedahkan sebelum hari penamaan calon lagi.

Kata beliau, Rohaizad sewaktu diambil tindakan oleh Bar Council melalui jawatankuasa disiplin badan itu adalah ketika badan (disiplin) itu dipengerusikan oleh salah seorang pimpinan Umno Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ahmad Sulaiman.

Tan Sri Khalid juga merupakan Pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang sewaktu Tan Sri Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri berada di luar negara.

"Beliau (Tan Sri Khalid) juga salah seorang ahli lembaga disiplin Umno, jadi tidak timbul soal tidak tahu latar belakang Rohaizad ini," katanya.siasahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan