Ahad, 9 Februari 2014

Anwar mahu Khalid dan Azmin berhenti bergaduh secara terbuka


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta dua pemimpin parti itu – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali, untuk berhenti bergaduh secara terbuka berhubung pemecatan 22 pekerja anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Anwar berkata, pergaduhan berterusan di antara Abdul Khalid yang merupakan menteri besar Selangor dan Azmin, pengerusi PKR Selangor, dimanipulasi media pro-Umno, dan ini mengeruhkan lagi hubungan mereka.

"Saya sudah nasihati Khalid dan Azmin bahawa kita tidak perlu perbesarkan lagi perkara ini. Khalid sudah mengatakan beliau sedang melihat mengenai perkara itu," kata Anwar dalam satu sidang akhbar di Puchong hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu bertukar-tukar kritikan melalui media selepas 22 pekerja PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSN) dipecat. ‎Sebelum ini, Azmin mengecam Abdul Khalid kerana menggunakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai senjata politik bagi melawan musuh politiknya.

Timbalan presiden PKR itu yang sebelum ini digugurkan sebagai ahli lembaga pengarah PKNS berkata, Abdul Khalid tidak berperikemanusiaan dan tindakannya memecat 22 kakitangan PHSB itu menyalahi undang-undang.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengakuan Abdul Khalid yang berkata, pihaknya akan mendedahkan kepada umum hasil siasatan yang mengaitkan Azmin.

Anwar, beberapa hari lalu menafikan isu pemecatan pekerja kontrak PKNS akan mengganggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana menganggap ia bukan isu politik.
"Ini soal pentadbiran. Saya kini lebih menumpukan kepada soal kebajikan kakitangan tersebut," katanya.TMI

Lapor Kepada JAIS,Macai Guna Gambar Anwar


Gambar yang dimuatnaik Datuk Seri Anwar di facebook digunakan portal peminat Umno dan BN, Mynewhub untuk membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Gambar yang menunjukkan Anwar tazkirah Maghrib di Surau At-Taqwa, Taman Kota Cheras Fasa 2 pada kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Jawapan JAIS dan MAIS tentunya mereka akan menyiasat kerana ia melibatkan Anwar. JAIS  berjanji akan melakukan siasatan melalui laman Facebook dan blog Anwar berkenaan butiran program beliau yang mempunyai program ceramah.

Malam ini pula Anwar akan menghadiri Kuliah Datuk Ustaz Siddiq Fadzil di Kolej Universiti Dar Al Hikmah di Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Tentu selepas ini JAIS akan menjadi peminat kuliah Anwar dan akan mengekori beliau ke masjid dan surau sehingga PRK Kajang selesai.

Sumber

Imam Masjid Dipecat Kerana Berkhutbah Isu Harga Barang

PEMECATAN IMAM KERANA BERKHUTBAH ISU HUDUD DAN KENAIKAN HARGA BARANG

Pihak Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Kg. Tualang Sekah, Malim Nawar, Perak didapati telah memecat seorang imam jemputan yang telah berkhidmat selama dua tahun dimasjid tersebut.

Antara sebab utama imam tersebut dipecat ialah beliau telah menyampaikan khutbah yang diklasifikasikan berbaur politik iaitu hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan di Kelantan kerana halangan Kerajaan Persekutuan dan kenaikan harga barangan masakini disebabkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Setelah membuat penelitian, Dewan Pemuda PAS Perak :

1- Menyokong pendirian imam tersebut yang berani melontar pandangan berkaitan isu-isu semasa walaupun ianya menyentuh Kerajaan Persekutuan. Ini sesuai dengan hadith Nabi yang bermaksud “berkata benarlah walaupun ianya pahit”.

2- Dewan Pemuda PAS Negeri Perak amat kesal dengan tindakan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang memecat imam tersebut tanpa dipanggil membela diri. Tindakan ini amat-amat bertentangan dengan ajaran Islam yang mementingkan soal keadilan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bahawa isi khutbah yang diucapkan oleh imam tersebut tidak menyalahi agama bahkan menegaskan bahawa isu hudud adalah isu aqidah umat Islam yang perlu diperjelaskan dengan sejelasnya.

3- Tindakan yang dilakukan oleh Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid dilihat lebih kepada sentiment politik kepartian sedangkan tindakan imam tersebut melalui ucapan isi khutbahnya lebih kepada tuntutan agama iaitu mengajak masyarakat kembali kepada islam.

4- Pihak Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid perlulah menyedari tugas mengimarahkan institusi masjid adalah focus utama mereka dengan menjadikan masjid sebagai duta penyelamat ummah.

Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS Perak membantah pemecatan imam tersebut dan mendesak supaya pemecatan terhadap imam tersebut hendaklah ditarik semula demi memelihara Institusi agama yang mulia ini.