Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta dua pemimpin parti
itu – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali, untuk berhenti
bergaduh secara terbuka berhubung pemecatan 22 pekerja anak syarikat
kerajaan negeri Selangor.
Anwar berkata, pergaduhan berterusan di antara Abdul Khalid yang
merupakan menteri besar Selangor dan Azmin, pengerusi PKR Selangor,
dimanipulasi media pro-Umno, dan ini mengeruhkan lagi hubungan mereka.
"Saya sudah nasihati Khalid dan Azmin bahawa kita tidak perlu
perbesarkan lagi perkara ini. Khalid sudah mengatakan beliau sedang
melihat mengenai perkara itu," kata Anwar dalam satu sidang akhbar di
Puchong hari ini.
Kedua-dua pemimpin itu bertukar-tukar kritikan melalui media selepas 22
pekerja PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSN) dipecat. Sebelum ini, Azmin
mengecam Abdul Khalid kerana menggunakan Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor (PKNS) sebagai senjata politik bagi melawan musuh politiknya.
Timbalan presiden PKR itu yang sebelum ini digugurkan sebagai ahli
lembaga pengarah PKNS berkata, Abdul Khalid tidak berperikemanusiaan dan
tindakannya memecat 22 kakitangan PHSB itu menyalahi undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengakuan Abdul Khalid yang berkata,
pihaknya akan mendedahkan kepada umum hasil siasatan yang mengaitkan
Azmin.
Anwar, beberapa hari lalu menafikan isu pemecatan pekerja kontrak PKNS
akan mengganggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kajang kerana menganggap ia bukan isu politik.
"Ini soal pentadbiran. Saya kini lebih menumpukan kepada soal kebajikan kakitangan tersebut," katanya.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan