Pengguna laman sosial
Facebook di negara ini perlu berhati-hati dengan pautan laman sesawang
berantai yang disyaki mengandungi pepijat "Heartbleed", iaitu sejenis
penggodam akaun pengguna.
Bermula awal minggu lalu, pepijat Heartbleed atau CVE-2014-0160 yang
belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data
peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.
Awal minggu ini, Reuters melaporkan kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara
itu agar memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan
serangan penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan
melalui pepijat Heartbleed.
Presiden dan Pengasas Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee Abdul Aziz,
berkata pepijat Heartbleed disasar kepada pengguna media sosial kerana
laman seperti itu mempunyai kandungan data peribadi yang banyak.
"Negara kita merupakan antara pengguna media
sosial seperti Facebook yang tertinggi di rantau ini, dan ia menjadi
lubuk kepada penggodam untuk mengambil data peribadi malah sehingga ke
tahap mereka boleh mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat
tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Khaireel Azlee juga berkata sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam
boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan,
gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna
berkenaan.
"Oleh itu, saya menyarankan semua pengguna berhati-hati ketika melayari
Facebook dan tidak menekan mana-mana pautan berantai, yang mahukan
akaun anda diakses sekiranya ingin melihat video atau gambar yang
disertakan di laman sesawang tersebut," kata beliau yang lebih dikenali
sebagai Kay Azlee melalui program ICT dan Anda terbitan Bernama Radio24,
bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari 7.45 malam hingga 8 malam.
Beliau berkata setiap pengguna laman sosial seperti Facebook perlu mempunyai kesedaran yang tinggi sebelum mendedahkan perkara berhubung kehidupan mereka di laman itu.
"Perlu diingat, sebelum memuat naik apa sahaja, biarlah ia bersifat
umum, sebagai contoh tidak memuat naik gambar ahli keluarga supaya orang
yang berniat jahat tidak mempunyai akses kepada maklumat kehidupan
peribadi anda," katanya.
Sementara itu, laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memuat naik amaran berhubung serangan pepijat Heartbleed awal minggu lalu.
Amaran bertarikh 8 April itu dikeluarkan kepada semua agensi dan
syarikat telekomunikasi di negara ini bagi memperketat kawalan
keselamatan mereka daripada diceroboh penggodam menggunakan pepijat
Heartbleed.
Menurut amaran itu, SKMM mengenal pasti 34 laman sesawang yang terjejas
dan memaklumkan kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan sistem keselamatan masing-masing dengan segera.
SKMM turut menasihati pengguna Internet agar menukar kata laluan
terutama pada akaun media sosial dan e-mel untuk tujuan keselamatan.
Untuk keterangan lanjut berkaitan pepijat Heartbleed, pengguna boleh melayari laman sesawang http://heartbleed.com. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan