Kenyataan permohonan maaf Datuk Nawawi Ahmad
Ahli Parlimen Umno dari Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad(gambar kiri), yang
mencetuskan kontroversi baru-baru ini di laman sosial dengan kenyataan
sensitif berhubung kematian Karpal Singh, akhirnya memohon maaf.
"Saya ingin menzahirkan perasaan kesal dan sesal saya atas perkara yang
berlaku dua hari lepas berhubung tulisan di laman Facebook peribadi
saya berkaitan kejadian yang menimpa mendiang Karpal Singh.
"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa kesalnya saya, dan
betapa perlunya saya meminta maaf kepada keluarga mendiang YB Karpal
Singh dan semua orang yang saya singgung dengan tulisan yang cuai dan
sia-sia itu," status Facebook terbaru Nawawi dipetik.
Setelah Karpal terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis, Nawawi
mengirim gambar di Facebook daripada kemalangan itu beserta keratan
akhbar lama dengan petikan Karpal yang berkata "langkah mayatnya dahulu
sebelum mewujudkan negara Islam".
Dalam sidang media kemudiannya, Nawawi berkata setelah berfikir panjang dan meneliti kembali gambar dan kenyataan yang dimuat naik itu, akhirnya mengakui perbuatan itu adalah salah dan tidak beretika.
"Tiada perkataan yang dapat saya gambarkan betapa sedih dan menyesal di
atas keterlanjuran catatan saya. Dan permohonan maaf saya datang dari
saya sendiri tanpa didesak mana-mana pihak ataupun parti," katanya pada
sidang media di KL Sentral, Kuala lumpur.
Beliau juga mengakui tidak peka dengan sensitiviti sekeliling
menyebabkan beliau tidak sedar perbuatannya itu melukakan perasaan bukan
sahaja ahli keluarga bahkan seluruh rakyat Malaysia.
"Saya gunakan akaun Facebook selama lima tahun sejak saya dilantik
menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Apa yang saya paparkan hanya
suka-suka, tidak pernah menjadi masalah namun kerana saya kini ahli
Parlimen maka ia mendapat perhatian orang ramai," katanya.
Ditanya adakah menyedari perbuatannya itu bakal mencetuskan
kontroversi, Nawawi berkata ketika itu beliau berada di dalam kereta.
"Semasa memuatnaik gambar itu saya berada dalam kereta. Tanpa berfikir
panjang, terus menulis kenyataan tersebut kerana teringat cabaran
mendiang mengenai langkah mayat beliau dahulu," katanya.
Nawawi yang juga Pengerusi Kereta Api Melayu Tanah Berhad (KTMB)
berkata tidak menyedari gambar yang dimuat naik itu akan menyinggung
perasaan ekoran skrin telefon bimbit yang digunakan terlalu kecil.
"Saya copy paste gambar tersebut menggunakan telefon bimbit jenis
I-Phone dan skrin itu kecil. Apabila saya balik kemudiannya buka di
komputer baru saya nampak memang gambar itu amat menyinggung perasaan,"
katanya.
Pada awalnya beliau juga mendakwa akaun rasmi Facebooknya itu turut
dikemaskini beberapa pegawai namun mengakui bertanggungjawab sepenuhnya
atas perbuatan itu.
Setelah kenyataan menghina terhadap ahli Parlimen Bukit Gelugor itu,
Nawawi akhirnya mengakui Karpal pemimpin dan peguam terbaik negara.
"Beliau ahli Parlimen yang dihormati dan disegani ramai. Saya secara
peribadi menghormati mendiang sebagai seorang berwibawa, mempunyai
prinsip dan berani menegakkan roh perlembagaan.
"Tidak syak lagi pemergian beliau kehilangan besar kepada Malaysia dan
saya juga insaf dengan perbuatan saya yang melukai banyak pihak,"
katanya.
Nawawi berkata kesilapannya itu akan menjadi pengajaran kepadanya agar
lebih berhati-hati dan berhemah dalam penulisan membabitkan akaun
Facebook pada masa akan datang.Beliau antara lain turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
Turut ditanya adakah beliau akan memohon maaf secara berdepan dengan
ahli keluarga Karpal, beliau tidak menolak akan kemungkinan itu.
"Ya, saya mungkin meminta maaf kepada mereka. Namun saya tidak dapat
menghadiri pengebumian mendiang esok kerana ada program lain," katanya.
Khamis lalu sebagai reaksi kepada kematian Karpal, Nawawi memuat naik
kenyataan di laman Facebooknya dengan menyatakan: "Siapa hendak sambut
cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama, he he," tulis Nawawi di akaun
"Dato Ir Nawawi Ahmad", merujuk pada paparan keratan akhbar yang
bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu – Karpal
Singh".
Beliau bagaimanapun memadam gambar dan kenyataan berkenaan setelah dikritik ramai.Namun semalam seorang pengguna Internet, Shamsul Kamal Ariffin Mohd
Nasir mendakwa ahli parlimen masih lagi bertindak menghina mendiang
menyamakan peguam terkenal itu dengan Abu Jahal.
“Saya membuat komen di laman Facebooknya hari ini (semalam) untuk
menegur perbuatannya yang tidak bertamadun dan memalukan orang Islam.
Berlaku pertikaian pendapat antara kami yang berterusan apabila beliau
menghantar pesanan peribadi kepada laman sosial saya," katanya ketika
dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau yang bekerja sebagai pelatih korporat di syarikat swasta berasa
terkejut apabila Nawawi tanpa rasa bersalah menyifatkan perbuatannya
menghina ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sebagai mengagungkan Islam.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan