Rabu, 26 Februari 2014

Taib Mahmud letak jawatan Adun Balingian


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar), akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balingain Jumaat ini, lapor akhbar Berita Harian.

Akhbar tersebut memetik Abdul Taib sebagai berkata, notis pengosongan itu sudah diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar. 

Taib sebelum ini mengumumkan mengenai peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Februari dan beliau akan digantikan oleh Tan Sri Adenan Satem.

Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Adenan yang ditemani dua anak lelakinya Abdul Aziz, 47, dan Azizul Annuar, 23, turut mengesahkan bahawa pemilihannya sebagai bakal ketua menteri dibuat selepas anggota-anggota Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) yang bermesyuarat memberi mandat penuh kepada Taib untuk memilih penggantinya.

"Beliau (Taib) sebenarnya tidak mahu tetapi kami (anggota-anggota MT) memaksa beliau untuk memilih...terima kasihlah kerana beliau memilih saya," katanya.

Menurutnya Taib juga tidak pernah memberitahunya yang beliau akan dilantik sebagai ketua menteri.Adenan turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelancongan dan Pembangunan Perumahan Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Openg yang juga Timbalan Presiden PBB dan Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar yang juga Naib Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kerana menyokong pelantikan beliau sebagai bakal ketua menteri.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan