Rabu, 13 Februari 2013

Mahasiswa Diserang Samseng Umno Di Parlimen Pekan


PEKAN 13 FEB: Dua siswa dan dua siswi dari kumpulan Gerakan Mahasiwa PRU-13 diserang dengan parang oleh samseng Umno di Felda Chini 4, dalam Parlimen Pekan, pagi tadi.

Kumpulan itu diserang ketika mengedar risalah dan surat ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’ dari rumah ke rumah di kawasan Felda berkenaan pada jam 11 pagi.

Seorang siswa terlibat, Safwan Shamsudin berkata, kumpulan lima individu bermotosikal itu mengepung dan mengacukan parang ke arah mereka.

Menurut Safwan, kumpulan tersebut turut mengeluarkan kata-kata kesat serta mengarahkan beliau dan tiga lagi rakannya supaya keluar dari tempat kejadian.

“Bila nampak parang, kami pun beritahu (kepada pemuda bermotosikal), kami akan beredar. Salah seorang mereka merampas risalah (surat) yang kami bawa,” kata siswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu lagi.

“Kami beredar balik ke rumah penunjukkan arah yang terletak kira-kira 500 meter daripada tempat insiden berlaku,” katanya dipetik.

Ekoran itu, Safwan membuat laporan di Balai Polis Chini tengahari tadi.Ini serangan kedua selepas mahasiswa turun berkempen di kawasan Parlimen Datuk Seri Najib Razak itu.

Haron Din sah bertanding pada PRU 13

KANGAR - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din disahkan akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang di negeri ini.

Mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, pihaknya sudah mengemukakan tawaran bertanding kepada Haron dan mendapat maklum balas positif.

"Kita beri tawaran ini sejak 2011 lagi dan terbaru, tahun lalu. Beliau jawab secara positif menyatakan kesediaan untuk bertanding kali ketiga walaupun sudah tewas dua kali sebelum ini," katanya.

Ditanya kerusi mana yang ditawarkan kepada Haron, Hashim berkata, besar kemungkinan tokoh nombor dua dalam Majlis Syura Ulama Pas itu akan kembali merebut kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) iaitu di Parlimen Arau.

Kerusi itu kini disandang Datuk Ismail Kassim yang menewaskan Haron pada  PRU12 dengan majoriti 300 undi. Ismail mendapat 16,451 undi manakala Haron, 16,151.

Hashim berkata, beliau mengumumkan perkara itu kerana ada desas-desus kononnya Haron tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya disebabkan masalah kesihatan. 
“Tidak ada ura-ura beliau akan berundur atas sebab masalah kesihatan. Beliau yang saya kenali seorang yang cekal sebagai pejuang dalam politik yang akan berjuang hingga ke akhir hayat,” katanya.

Haron, anak jati Bohor Mali, di sini,  kali pertama bertanding pilihan raya pada 2004 untuk kerusi Parlimen Arau yang menyaksikan beliau tewas kepada Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (BN) dengan perbezaan undi 3,243.

Hashim turut menyangkal kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang yakin BN akan mencatat kemenangan 100 peratus di negeri itu pada PRU13. Selain mengekalkan tiga kerusi parlimen, Md Isa berkata, pihaknya yakin dapat merampas kembali dua kerusi Dun iaitu Simpang Empat dan Sanglang daripada Pas.

“Setiap kali PRU kenyataan sama dikeluarkan, namun hakikatnya tidak berlaku. Saya sudah tiga penggal jadi Adun Sanglang, ini terbukti sampai sekarang pun mereka gagal sapu bersih semua kerusi,” katanya.

Hashim yang lebih 21 tahun menjadi pemimpin utama Pas Perlis berkata, pihaknya menaruh keyakinan penuh mampu menawan Perlis kali ini berdasarkan trend sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap Pakatan Rakyat (PR) Perlis.

“Saya jangkakan PRU13 kali ini akan menunjukkan perubahan lebih baik. Malah sokongan bukan Islam kini meningkat setelah mereka bosan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada,” katanya.

Dun Perlis terdiri daripada 15 kawasan Dun dan tiga kawasan Parlimen. Pada PRU 2008, BN menang 13 kerusi Dun dan Pas (2), manakala kerusi Parlimen disapu bersih BN.SH