Kecoh di Parlimen sebelum bacaan kali kedua pindaan Akta Pencegahan
Jenayah (PCA) oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) bangkit dan menuntut
agar bacaan Rang Undang-undang PCA (pindaan) Pemerluasan itu ditangguh.
Antara pemimpin pembangkang yang bangkit adalah ahli Parlimen Gombak,
Mohamed Azmin Ali (gambar) yang mempersoalkan sama ada rang
undang-undang itu akan ditarik balik atau tidak, memandangkan masa yang
diperuntukkan untuk 11 rang undang-undang termasuk PCA tidak mungkin
akan dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga hari persidangan.
"Saya percaya, kalau tidak sempat bahas kita bawa kepada sidang yang seterusnya, itu tiada masalah.
"(Tetapi) kalau ada 11 rang undang-undang, maknanya perbahasan yang ini
terlalu pendek. Di mana seriusnya kerajaan, seolah-olah tidak serius,"
kata Azmin sejurus sebelum sesi bacaan kali kedua rang undang-undang
tersebut dibacakan.
"Mana boleh 11 rang undang-undang dalam tiga hari, kalau sampai pukul
12 malam sekalipun. Saya harap saya minta Menteri Dalam Negeri katakan
adakah akan teruskan untuk tarik empat rang undang-undang," kata
Timbalan Presiden PKR itu lagi.
Tindakan Azmin itu kemudiannya dijawab Speaker Dewan Rakyat, dan
berkata beliau tidak memberikan sebarang ketetapan masa untuk dibahaskan
oleh ahli Parlimen.
"Berapa minit masa yang diperuntukkan tiada setakat ini. Pada masa ini
belum ada tempoh masa. Tetapi petang nanti jam 6 petang, atau 8 malam
kalau perlukan masa yang tepat, kita akan tetapkan," kata speaker.
Beberapa pemimpin politik Barisan Nasional (BN) kemudiannya bangun
membidas Azmin, antaranya ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar
Radin.
"Gombak boleh bangun cakap satu hari... Ini Kalilah Gombak, berdiri satu hari," kata Bung Mokhtar.
Ahmad Zahid kemudiannya meneruskan bacaan kali kedua rang undang-undang
berkenaan sejurus sebelum sesi Sidang Dewan Rakyat berhenti rehat pada
tengahari. – 1 Oktober, 2013.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan