Isnin, 25 Mac 2013

Selepas Lumut Anwar Dipelawa Bertanding Di Tambun

BAGAN SERAI - Selepas Pemuda Pas Perak mempelawa ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Lumut, kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Daerah Kerian pula mencadangkan beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

Sumber PR berkata, keperluan peletakan Anwar di kerusi Parlimen Tambung penting berikutan kawasan itu mempunyai majoriti penduduk bandar, selain bilangan pengundi bukan Melayu yang tingi.

Menurutnya, pertembungan Anwar dengan Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dijangka lebih menarik, ditambah spekulasi Ahmad Husni bakal dilantik sebagai Menteri Besar Perak sekiranya BN mengekalkan pemerintahan di negeri ini.

"Bagi kami, Anwar harus diletak di kawasan 50-50 yang bakal ditandingi pemimpin BN gred A seperti Ahmad Husni, bagi membuktikan bertapa serius kepimpinan PR menggalas misi menawan Putrajaya.

"Kekalahan Ahmad Husni dan BN di kerusi Parlimen Tambun bukan hanya menggugat politik BN untuk jangka masa panjang, malah peluang BN untuk bangkit dijangka semakin sukar kerana mereka ketandusan pemimpin berpengaruh," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambah beliau, Anwar harus mencontohi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang membuat keputusan mengejut untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah, sekali gus memberi tonik semangat kepada pemimpin PR di Johor.

Katanya, perbezaan majoriti undi tinggi di Parlimen Tambun tidak wajar dijadikan ukuran peluang kemenangan Anwar, sebaliknya gelombang perubahan yang tersebar dalam kalangan rakyat perlu dijadikan indikator utama.

"Kepimpinan PR harus ambil risiko dengan meletakkan pemimpin berpengaruh di kawasan 50-50 atau kerusi panas demi meningkatkan peluang memenangi lebih banyak kerusi Parlimen. Kami yakin gelombang perubahan dibawa PR akan lebih kukuh jika setiap negeri ambil pendekatan berkenaan.

"Langkah itu akan meningkatkan moral perjuangan akar umbi menjelang PRU. Kita harus buktikan PR bersikap 'gentleman' dengan tidak meletakkan pemimpin utama bertanding di kerusi selamat seperti BN," katanya.

Beliau juga memaklumkan, peletakan Anwar di kerusi Parlimen Tambun juga penting dalam menyatupadukan jentera pilihan raya PKR Cabang Tambun yang didakwa sedikit terjejas dengan berita peletakan jawatan pengarah pilihan raya PR parlimen itu, Muhammad Arafat Mahamad.

Ditanya sama ada cadangan ini sudah dikemukakan kepada kepimpinan PR negeri, sumber berkenaan memaklumkan cadangan telah dibuat secara lisan dan keputusan muktamad diserahkan kepada kepimpinan PR negeri serta Anwar sendiri.

Pada PRU ke-12, Ahmad Husni memenangi kerusi Parlimen Tambun setelah menewaskan calon PKR, Mohd Asri Osman dengan majoriti 5,386 berbanding 17,360 majoriti undi diterimanya pada PRU11.SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan