Gambar dari rakaman video menunjukkan Bawani (kiri) berdiri
mempersoalkan pembentangan oleh Sharifah Zohra. – Gambar diambil dari
Youtube
KUALA LUMPUR 18 Jan — Bawani KS mengakui persembahan slaid semasa forum
“Seiringkah mahasiswa dan politik?” yang memaparkan kritikan ke atas
pemimpin pembangkang dan beberapa aktivis menyebabkan beliau bangun
untuk bersuara dan mempersoalkan pembentangan panel forum Sharifah Zohra
Jabeen Syed Shah Miskin.
Menurut Bawani, persembahan slaid tersebut yang memaparkan gambar
seperti ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, aktivis Bersih
Datuk Ambiga Sreenevasan dan demonstrasi menentang Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak munasabah dan tidak
selari dengan tajuk forum tersebut.
“Gambar yang mereka paparkan dalam forum tersebut adalah tidak munasabah,” kata Bawani dalam satu sidang media hari ini.
“Ianya tidak langsung berkaitan dengan forum yang bertajuk
‘Seiringkah mahasiswa dan politik?’. Oleh sebab saya tidak berpuas hati,
saya bangkit dan memberikan hujah sebelum Sharifah Zohra kemudiannya
menarik mikrofon saya.”
Bawani juga berkata tidak berpuas hati dengan penganjur forum
tersebut yang hanya membenarkan dua soalan diambil daripada mahasiswa
untuk dijawab, serta mengesyaki sesuatu yang pelik berlaku kerana
mahasiswa terpaksa berikrar selepas tamat forum.
“Sepanjang saya menghadiri forum, inilah kali pertama saya melihat orang ramai diarah mengangkat ikrar.
“Oleh yang sedemikian, saya berpendapat forum tersebut bukan bagi
mendengar suara mahasiwa tetapi sebaliknya adalah untuk membodohkan
mahasiswa,” kata beliau lagi.
Apabila ditanya sama ada bimbang atas tindakan yang diambilnya semasa
dalam forum tersebut, Bawani berkata beliau tidak melakukan sesuatu
yang salah disisi undang-undang.
Bawani turut memberitahu kehidupannya agak berubah selepas tersebar
video tersebut apabila sering menerima panggilan dan juga komen-komen
daripada orang ramai di ruangan laman sosial Facebook dan Twitter.
“Kehidupan saya berubah sekarang, setiap hari banyak panggilan telefon dan komen di Facebook dan Twitter saya.
“Hinggakan saya terpaksa mengambil seorang pembantu peribadi (PA) dan
terdapat sekumpulan rakan saya yang mengendalikan akaun Facebook dan
juga Twitter saya,” kata beliau.
Beliau juga menjelaskan tidak sebarang menyimpan rasa marah atau
berdendam kepada Sharifah Zohra selepas insiden tersebut serta tidak
perlu untuk meminta maaf kepada dirinya.
“Saya rasa tidak perlu untuk Sharifah Zohra meminta maaf kepada
saya,” kata Bawani walaupun terdapat gesaan daripada aktivis dan
kumpulan mahasiswa yang mahukan presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M)
tersebut memohon maaf kepada beliau.
Dalam pada itu, Bawani juga berkata tidak berhasrat untuk menyertai
mana-mana parti politik ataupun bertanding dalam pilihan raya umum yang
dijangka tidak lama lagi serta menegaskan matlamat utamanya ketika ini
ialah memperjuangkan pendidikan percuma bersama Gerakan Menuntut
Pendidikan Percuma (GMPP).
Sementara itu, Bawani juga menjemput Sharifah Zohra ke satu bengkel
anjurannya pada 26 Januari ini bersama mahasiswa di Dewan Perhimpunan
Cina, Kuala Lumpur bagi membincangkan isu bertajuk “Bengkel Nasional
Untuk Blue Print Tuntutan Pendidikan Percuma”.
“Saya jemput Sharifah Zohra untuk bersama mahasiswa pada forum 26 Januari ini,” pelawa Bawani.
Forum “Seiringkah mahasiswa dan politik?” diadakan di Universiti
Utara Malaysia (UUM), Kedah, pada 8 Disember lepas, akan tetapi hanya
heboh selepas video tersebut dimasukkan di YouTube minggu lalu.
Klip selama 24 minit itu memaparkan seorang ahli panelnya Sharifah
Zohra menegur Bawani, yang bangun bercakap di forum itu, membangkitkan
kepada penganjur forum apa yang dia percaya pembentangan mereka yang
tidak betul mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A
Samad Said.
Bawani juga menegaskan sejumlah negara mampu menawarkan pendidikan
percuma sehingga ke peringkat universiti dan bertanya mengapa Malaysia
tidak boleh berbuat demikian, diikuti dengan tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah Zohra turun dari pentas dan berdiri di depannya.Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah Zohra itu dan terus bercakap.
Sharifah kemudian berkata “dengar” kira-kira 11 kali sebelum
bertindak mengambil mikrofon, sambil menghulurkan tangannya bersalam
dengan Bawani dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
“Nombor satu, ini adalah program kami dan kami dibenarkan untuk
bercakap. Nombor dua, apabila saya bercakap, (anda) dengar,” kata
Sharifah Zohra kepada Bawani.
Tindakan Sharifah Zohra telah menerima banyak kritikan daripada rakyat Malaysia yang menonton klip video tersebut.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan