Ketua Ekonomis Bank Islam, Azrul Azwar
Ahmad Tajudin yang digantung jawatan, mempertahan analisis melibatkan
tiga senario keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 termasuk prospek
kemenangan Pakatan Rakyat.
Pada kenyataan media lewat petang semalam, beliau berkata analisis yang
dibentang dalam satu forum di Singapura pada 10 Januari lalu, dibuat
secara profesional, jujur dan adil .
Azrul menolak keras andaian kononnya analisis yang meletakkan
kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU 13, bersifat bias dan tidak
profesional semata-mata kerana beliau seorang ahli KEADILAN.
“Keputusan
analisis itu dibuat selepas mempertimbang pelbagai faktor relevan yang
memperngaruhi situasi ekonomi pada 2013. Mustahil untuk menafikan
keputusan PRU 13 tidak akan memberi kesan kritikal terhadap ekonomi
negara.
“Tiada sebab saya perlu dikenakan tindakan disiplin kerana analisis itu dibuat secara jujur dan profesional,” katanya.
Azrul pada pembentangan bertajuk “Malaysia: Economic and Political
Outlook 2013″ pada 10 Januari lalu menyatakan tiga kemungkinan senario
yang berlaku pada PRU 13 berdasarkan analisis faktor terpilih.
Senario terbaik BN ialah mempertahan 112 hingga 122 kerusi Parlimen
berbanding Pakatan Rakyat yang memperoleh 100 hingga 110 kerusi manakala
senario kedua yang ‘besar kemungkinan’ ialah BN kalah dengan mendapat
97 hingga 107 kerusi Parlimen berbanding Pakatan yang menguasai 115
hingga 125 kerusi.
Senario ketiga yang ‘kurang kemungkinan’ ialah BN gagal dan hanya
mendapat 82 hingga 92 kerusi berbanding kejayaan besar Pakatan dengan
mendapat 130 hingga 140 kerusi Parlimen.
Beliau kemudian dikenakan penggantungan untuk tempoh yang tidak dinyatakan atas alasan ‘melanggar polisi bank.’
Pada kenyataan itu, Azrul juga memberi amaran untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap blogger, ahli politik atau mana-mana
pihak yang merosakkan reputasi, integriti dan kewibawaan atau
memfitnahnya.
“Ia menjadi tragedi kepada sistem demokrasi di Malaysia apabila
pendapat yang tidak menyebelahi sesebuah parti menjadi alasan kepada
sesetengah pihak untuk mengambil tindakan displin sekali gus memberi
lesen untuk pemusnahan karektor.
“Bagaimanapun, saya yakin, kebenaran dan keadilan akan terserlah jua akhirnya,” katanya.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan