Isnin, 14 Januari 2013

Kutipan Derma Himpunan KL112 Cecah Suku Juta Ringgit

KUALA LUMPUR 14 Jan: Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Mohammad Sabu mengesahkan derma yang berjaya dikutip pada himpunan Sabtu lalu mencecah RM289,000.

Jumlah tersebut dikumpul sejurus beliau mengumum dan melancarkan kutipan derma di Stadium Merdeka.

“Alhamdulillah, kita berjaya peroleh suku juta ringgit hasil kerjasama dan keprihatinan orang ramai,” kata Timbalan Presiden PAS itu ketika dihubungi.Kutipan derma tersebut meliputi peserta yang berada dalam stadium dan juga di luar stadium

Menurutnya, wang itu akan disalurkan khas untuk membiayai sewa Stadium Merdeka sebanyak RM100,000 dan penyelenggaraan lain.

“Bakinya kita akan masukkan ke dalam Tabung Pakatan Rakyat untuk menampung kegiatan parti,” jelas Mat Sabu.

Beliau berterima kasih kepada semua anggota parti Pakatan, termasuk Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Unit Amal serta Pemuda PAS dan NGO yang membantu perjalanan program pada 12 Januari lalu.

“Paling penting kepada rakyat yang begitu semangat hadir dan sudi hulurkan sumbangan, tak lupa juga pihak polis yang beri kerjasama,” katanya.

Dalam himpunan yang mengumpulkan kira-kira 500,000 rakyat itu, Mat Sabu mendedahkan SMS palsu oleh blogger Umno mengatakan semua peserta HKR dibayar RM150 seorang.

Sedangkan katanya, pihak penganjur bukan sahaja tidak membayar mereka, sebaliknya mahu meminta sumbangan daripada para peserta.“Kini terbukti, rakyat yang beri kita wang, bukan kami,” tambahnya.KD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan