Khamis, 13 Disember 2012

Salun Kelantan : Bukan Islam Hentam The Star

KUALA LUMPUR: Akhbar milik MCA, The Star terus bersikap 'tidak senonoh' apabila berterusan mengeksploitasi isu khalwat dan salun di Kelantan, sedangkan lebih banyak isu utama yang perlu dimainkan akhbar berbahasa Inggeris itu.

Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), Vincent Lee (gambar) berkata perbuatan The Star itu menjurus kepada mainan akhbar Utusan Melayu.

Beliau berkata tindakan The Star itu lebih kepada cubaan menakut-nakutkan golongan bukan Islam terhadap PAS memandangkan akhbar milik MCA itu lebih dibaca golongan bukan Islam.

"Secara jelas, saya melihat akhbar The Star sudah menjadi Utusan Melayu, yang tidak lagi membincangkan soal masa depan negara.

Sebaliknya, hanya bercakap soal remeh-temeh yang sudah lapuk, tetapi sengaja disensasikan untuk agenda politik mereka," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka hadapan The Star hari ini, yang melaporkan laporan bertajuk 'Victory for Saloon' - merujuk isu salun di Kelantan, baru-baru ini.

Kecam Vincent, isu berkaitan salun dan khalwat yang dilaporkan The Star itu sebenarnya sudah lapuk, sebaliknya hanya disensasikan akhbar itu kebelakangan ini.

Katanya, The Star sewajarnya membicarakan soal masa depan negara seperti agenda memerangi rasuah, pengurusan kewangan dan pentadbiran negara, atau apa sahaja isu yang membina masa hadapan negara.

"Sayangnya, ia tidak berbuat demikian. Hanya mainkan isu remeh-temeh yang sudah lapuk, diulang semula, dengan tujuan mengaburi pembacanya," tegas beliau.

Justeru, beliau menggesa The Star lebih memfokuskan agenda rakyat berbanding bermain dengan isu lapuk yang diulang semula.Hrkh

Isu Habibie: Indonesia hantar surat bantahan pada Najib

KUALA LUMPUR 13 Dis: Badan perundangan Indonesia – Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) bakal menghantar surat bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan kenyataan bekas Menteri Umno, Zainudin Maidin menggelar bekas presiden mereka, B.J. Habibie sebagai ‘anjing imperialis’.

Menurut laporan akhbar bahasa Inggeris Indonesia, Jakarta Globe semalam, perwakilan MPR mengkritik dan bertegas di atas kenyataan Zainudin yang menurut mereka boleh mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Speaker MPR, Pramono Anung dilaporkan berkata, bekas Menteri Penerangan itu perlu mengetahui kaedah berkomunikasi dengan baik dan penuh sopan.Katanya, kenyataan sedemikian mungkin menjejaskan hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.

“Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri Malaysia, kita membantah kenyataannya (Zainudin).
“Kita berharap tindakan tegas perlu diambil kepada beliau, kerana ia datang dari bekas Menteri Penerangan,” katanya dipetik.

Zainudin mengkritik Habibie yang memberi syarahan umum di Universiti Industri Selangor (Unisel) dalam Utusan Malaysia Isnin lalu, dengan memanggilnya sebagai ‘sombong’ dan menyamakan beliau dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mengakhiri artikel tersebut dengan memanggil mereka ‘anjing imperialis’.

“Saya tak boleh bayangkan bagaimana terseksanya penonton (di Unisel) untuk mendengar seorang lelaki yang egonya tinggi, terutama selepas dia akhirnya mendapat peluang untuk bercakap di hadapan mereka yang dia anggap sebagai bodoh, selepas sekian lama rakyat Indonesia tidak mahu mendengar atau menghormatinya,” kata Zainudin pada rencananya di Utusan, menurut Jakarta Globe.

Sama membantah kenyataan Zainudin adalah Pengerusi parti pemerintah Indonesia – Parti Demokratik, Anas Urbaningrum.

“Bekas menteri dari Umno itu perlu diajar cara-cara untuk bersopan. Dia tidak harus mengheret mantan Presiden Habibie dalam persaingan politik mereka dengan menghinanya. Ini tidak patut berlaku,” kata Anas dipetik.

Menurut akhbar itu lagi, beliau menyeru pemerintah Indonesia untuk menuntut maaf dari Zainudin kepada Habibie ke atas penghinaannya.

PRU 13 : PR mampu peroleh 125 kerusi Parlimen?

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR), perikatan Pas, PKR dan DAP ada kemungkinan boleh memperoleh 125 kerusi Parlimen - majoriti tipis untuk membentuk kerajaan pusat, dengan tiada parti komponen yang akan mempunyai "kuasa hegemoni", demikan menurut pemimpin tertinggi DAP.

Ia antara senario yang diketengahkan ketika banyak analisis dan laporan mula memberi tumpuan berkenaan soal bilangan kerusi bakal diperoleh oleh parti-parti yang akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan berlangsung sebelum akhir Jun depan.

Tumpuan adalah ke atas perikatan Barisan Nasional (BN) dan PR.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, dalam senario PR menang 125 kerusi, PKR boleh memperoleh sehingga 45 kerusi manakala DAP dan Pas masing-masing 40 kerusi.

Ia antara beberapa senario digambarkan oleh pemimpin veteran ini dalam tulisannya di blog beliau menjelang konvensyen tahunan DAP hujung minggu ini.

"Dalam analisis akhir, keputusan kemungkinan sama ada mengembalikan majoriti dua pertiga di Parlimen kepada Umno/BN, memberikan satu majoriti sekurang-kurangnya 74 kerusi di Dewan Rakyat atau PR menang sehingga 125 kerusi, dengan majoriti 28 kerusi mengatasi Umno/BN di Parlimen," kata Ahli Parlimen veteran ini.

Menjelas lanjut, Kit Siang berkata, dalam senario PR memperoleh 125 kerusi, dengan pengagihan 45:40:40, "ia satu perikatan dengan tiada parti yang mengamalkan hegemoni politik seperti yang terdapat dalam perikatan Barisan Nasional."

Sebelum ini, Sinar Harian Online ada membawa laporan bahawa BN boleh memperoleh sekurang-kurangnya 120 kerusi jika PRU13 diadakan sekarang. Malah ada penganalisis mengatakan bahawa kerusi BN di Parlimen kemungkinan menurun kepada 100.

Selain itu ada yang mengadakan BN tidak akan mengekalkan 140 kerusi yang dikuasai empat tahun lalu.Pada PRU 2008, BN memperoleh 140 kerusi manakala parti-parti pembangkang 82.

Foto Terbaik : Tok Guru Nik Aziz Menyantuni Ulama' Besar


Tok Guru Nik Aziz mencium tangan menyantuni Ulama' besar dari Syria,Syeikh Muhammad Ali As Sobuni  yang melawat Kelantan.

Syeikh Muhammad Ali As Sobuni telah mengarang hampir 40 kitab kitab besar termasuk yang paling terkenal tafsir Al Sobuni,yang diguna ramai umat Islam di seluruh dunia ~ Tinta Hijau DKB