ALOR STAR, 20 Dis – Polis Kedah menahan 36 orang yang dipercayai
terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu
siasatan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim( gambar ).
Katanya
semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani.
Beliau berkata tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi tadi di
sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan
maklumat yang diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan.
“Kita tangkap semua yang terlibat. Polis tak akan berkompromi dengan
sesiapa yang melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan
hura-hara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Kedah di sini hari ini.
Mengenai pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial,
blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa berlakunya rusuhan di
daerah Kuala Muda terutama Sungai Petani, Ahmad berkata Jabatan Siasatan
Jenayah Komersial (JSJK) negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan
ke atas pihak yang menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan
situasi di daerah berkenaan.
Katanya, polis turut mengambil tindakan terhadap mereka yang
bertanggungjawab menyebar maklumat palsu dan mencetuskan keadaan yang
kurang menyenangkan.
Ahmad berkata semalam pihaknya mengadakan pertemuan dengan
ketua-ketua agama, pemimpin politik dan wakil rakyat daerah Kuala Muda
di IPD Kuala Muda bagi menerangkan situasi sebenar supaya mereka boleh
menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat setempat.
Katanya, apa yang berlaku hanyalah pergaduhan kecil antara kumpulan
anak muda dan bukannya rusuhan seperti yang digambarkan dalam blog dan
media sosial.
Beliau juga menegaskan kepada golongan muda agar tidak melakukan
sesuatu yang melanggar undang-undang kerana perkara tersebut membabitkan
soal keselamatan.
“Kita mampu untuk tenteramkan keadaan tersebut jika masyarakat
memberi kerjasama untuk mengharmonikan situasi ini. Kita juga sebarkan
maklumat tepat dalam laman sosial Facebook kepada masyarakat dan kita
tak sembunyikan apa-apa fakta,” katanya.
Ahmad turut memberi amaran keras kepada penyebar maklumat palsu agar
segera menghentikan perbuatan itu kerana katanya maklumat yang berbentuk
provokasi dan sensasi berupaya untuk mencetuskan masalah perkauman
sekali gus mengugat ketenteraman awam.
Katanya dakwaan kematian akibat pergaduhan antara kaum juga tidak
wujud seperti yang digambarkan dalam berita di laman sosial dan pihak
polis kini giat melakukan kawalan di daerah itu.
“Saya dah pantau keadaan di Sungai Petani dan saya lihat keadaan
normal, masyarakat melakukan aktiviti harian dan kedai buka macam biasa.
Tak ada kuil atau rumah ibadah lain terbakar seperti yang dilapor oleh
blogger,” kata Ahmad. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan