KUALA LUMPUR, 26 Nov — Pegawai bank mengesahkan anak kepada
Ketua Menteri (KM) Sarawak, membelanjakan wang sebanyak RM782,520.88
dalam tempoh enam bulan semasa perbicaraan kes tuntutan bekas menantu
Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) hari ini.
“Ya,
saya mengesahkan semua maklumat dalam penyata akaun kad kredit platinum
American Express ini adalah milik Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul
Taib,” kata Musinah Manap, pengurus bahagian khidmat pelanggan Maybank
hari ini.
Bukti penyata bank dikemukakan oleh peguam plaintif menunjukkan
perbelanjaan yang digunakan oleh Mahmud Abu Bekir daripada Januari
hingga Jun tahun ini berjumlah RM782,520.88.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membuat keputusan mengejut
apabila membenarkan saksi pegawai bank memberikan keterangan dalam
perbicaraan kes tuntutan bekas menantu KM Sarawak hari ini.
Dalam laporan The Malaysian Insider pagi tadi, Hakim Syarie
Datuk Muhammad Abdullah menolak permohonan peguam Shahnaz Abdul Majid
untuk mengemukakan saksi pegawai bank kerana tidak memberikan notis
awal.
“Saksi pegawai bank boleh beri keterangan kerana plaintif sudah
memberikan persetujuan membenarkan saksi untuk disoal balas seperti yang
dituntut oleh pihak defendan,” kata Hakim semasa perbicaraan bersambung
selepas berhenti untuk makan tengah hari.
Dalam penyata bank itu, Mahmud Abu Bekir telah menggunakan kad
American Express sebanyak RM166,332.37 pada Januari; RM148,763.88 pada
Februari; RM102,236.85 pada Mac; RM172,193.23 pada April; RM39,454.70
pada Mei; dan RM153,539.85 pada Jun, menjadikan jumlah keseluruhan ialah
RM880,958.91.
Selepas keterangan saksi pertama tersebut, Datuk Zainul Rijal Abu
Bakar mewakili pihak defendan memohon kepada Hakim untuk menangguhkan
perbicaraan pada hari ini supaya memberinya peluang menyediakan soal
balas.
“Saya pohon kepada yang arif untuk menangguhkan perbicaraan hari untuk saya menyoal balas kemudiaannya,” kata Zainul Rijal.
Muhammad Abdullah menerima permohonan peguam defendan untuk
menangguhkan perbicaraan dan menetapkan tarikh baru pada 24 Disember
untuk menyambung perbicaraan semula.
Peguam plaintif, Mohd Rafie Mohd Shafie kemudiaannya memberitahu
mahkamah bahawa terdapat dua orang lagi saksi daripada bank serta
memohon Hakim untuk menetapkan satu lagi tarikh dalam tempoh sebulan
memandangkan pihaknya akan mengemukakan sepina ke atas seorang ketua
pegawai eksekutif Swiss Bank yang tidak dinamakannya.
Perbicaraan hari ini merupakan tuntutan RM100 juta untuk mutaah oleh
Shahnaz berikutan perceraiannya dengan Mahmud Abu Bekir dan RM300 juta
tuntutan bagi harta sepencarian.
Shahnaz dalam perbicaraan sebelum ini berkata jumlah RM400 juta yang
dituntutnya itu adalah masuk akal memandangkan mereka telah berkahwin
selama lebih 19 tahun dan suaminya memiliki pendapatan bernilai
berbilion ringgit.
Dalam permohonan cerai yang difailkannya sebelum ini, Shahnaz, yang
mempunyai MBA dalam Kewangan berkata, dia mahu bercerai di bawah Akta
Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1948 kerana Mahmud
Abu Bekir tidak memberinya nafkah batin sejak 2001.
Kakak kepada ratu jazz Malaysia itu turut berkata, bekas suaminya itu
juga pernah menumbuk mukanya, kepala, mata, disepak di rusuk dan
dicekik, disamping penggunaan kata-kata kesat yang menyebabkan emosinya
terganggu.Perbicaraan hari ini ditangguhkan sehingga 24 Disember depan, jam 10 pagi.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan