PETALING JAYA: Jingga 13 hari ini membuat laporan polis terhadap
dakwaan ‘derma politik’ RM40 juta kepada Umno Sabah melibatkan Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan tauke kayu balak, Michael Chia.
Laporan itu dibuat badan bukan kerajaan (NGO) terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur petang tadi.
Wakil Jingga 13, Afzainizam Abdul Rahman dalam laporannya berkata,
pihaknya percaya keputusan siasatan skandal tersebut hanya untuk
menyelamatkan Musa Aman yang dikatakan mempunyai kaitan dengan lesen
pembalakan Sabah sehingga mampu membawa pulangan lumayan.
Beliau turut melaporkan, skandal ini turut melibatkan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak apabila enggan mendedahkan individu yang menjadi
penyumbang dana terbabit.
“Jingga 13 juga mendapati bahawa Najib selaku Presiden Umno dan
Menteri Kewangan turut mengetahui bahawa wujudnya skandal penyeludupan
wang RM40 juta tersebut.
Wang haram
“Selaku Menteri Kewangan, Najib sepatutnya cukup prihatin bahawa
tindakan menyeludup wang haram serta sumbangan kepada parti politik
daripada sumber wang haram tersebut adalah merupakan satu jenayah.
“Tindakan Najib yang enggan mendedahkan siapakah penyumbang kepada
wang haram sebanyak RM40 juta kepada Umno Sabah ini jelas membuktikan
keterlibatan beliau di dalam skandal tersebut bersama-sama dengan Musa
Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dan juga hartawan
balak Micheal Chia. Malahan Umno Sabah turut sama mempertahankan
tindakan jenayah tersebut .
“Jingga 13 mendapati bahawa telah wujud kesalahan jenayah yang
dilakukan oleh Najib yang turut sama bersekongkol dengan Musa, Micheal
Chia dan Umno Sabah dalam aktiviti penyeludupan sejumlah wang haram yang
cukup besar .
“Justeru itu kami meminta agar satu siasatan secara terperinci dibuat
oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Jenayah
Komersial dan menyiasat isu tersebut tanpa prejudis dan pilih kasih agar
tindakan undang-undang dan pendakwaan dapat dikenakan ke atas para
penjenayah tersebut,” katanya dalam laporan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) mendapati tiada elemen rasuah dapat dibuktikan.
“Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan
Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri,”
katanya dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Batu Tian Chua
di Parlimen Khamis minggu lalu.
Nazri juga berkata, berdasarkan keputusan kertas siasatan SPRM, badan
pencegahan rasuah Hong Kong ICAC juga tidak bercadang untuk mengambil
tindakan lanjut.
Malah menurut Nazri, permohonan kerjasama ICAC untuk menyiasat
perkara jenayah berhubung akaun bank di Switzerland juga ditarik balik
atas alasan sama.
Michael Chia ditahan pada 14 Ogos 2008 di Lapangan Terbang
Antarabangsa Hong Kong apabila wang berjumlah RM40 juta (dalam matawang
Singapura) ditemui dalam bagasinya ketika mahu menaiki pesawat yang
menghala ke Kuala Lumpur.FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan