Rabu, 24 Oktober 2012

Pemuda Pakatan gesa Musa Aman jawab skandal RM40 juta

KUALA LUMPUR 24 Oktober: Pemuda Pakatan Rakyat menggesa kerajaan Umno dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menjawab mengenai RM40 juta wang seludup melalui Hong Kong yang dipercayai diberi seorang ahli perniagaan untuk Umno Sabah.

Ia ekoran penafian Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam perbahasan Dewan Rakyat Isnin lalu dan mengatakan dakwaan itu adalah ‘imaginasi’ Pakatan yang berterusan mempertegas isu berkenaan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, sejak tahun 2009 hingga kini, Musa mahupun Umno tidak pernah sekalipun menafikan skandal tersebut.

“Apakah Umno Sabah bersedia untuk diaudit secara profesional untuk membuktikan penafian mereka?” soal Shamsul.

Beliau turut mempersoal kemungkinan wang RM40 juta tersebut sebenarnya adalah wang haram yang dialirkan kepada Umno melalui Yayasan Sabah menggunakan pemalsuan pelan kawasan pembalakan.

“Sekiranya wang tersebut merupakan wang Umno Sabah, apakah wang sejumlah USD90 juta yang didakwa dimiliki Musa dalam proses pembekuan aset oleh Jabatan Peguam Negara Switzerland ke atas bank UBS, juga merupakan wang Umno Sabah?” soal beliau lagi.

“Bagaimana Umno Sabah begitu produktif menerima tajaan mencecah puluhan juta ringgit seolah-olah ada skandal tersembunyi di sebalik penindasan berterusan kepada rakyat Sabah,” kata Shamsul.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Pemuda Kebangsaan DAP (DAPSY), Anthony Loke dan Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria.KD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan