Khamis, 11 Oktober 2012

Pemegang IC sementara disenaraikan sebagai pengundi


KUALA LUMPUR 11 Oktober: Pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Sementara atau MyKas ada dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dedah Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

Dalam Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Kuantan itu membawa bukti salinan carian di laman web SPR, terdapat pemegang Mykas didaftar sebagai Hasmidah Surahbil dengan nombor kad pengenalan 820315-12-6446.

Hasmidah disenaraikan sebagai pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dalam Parlimen Hulu Langat. Turut dinyatakan ialah lokaliti pengundi di Taman Baiduri Jaya dan daerah mengundi di Bandar Teknologi Kajang.

“Perkara ini bukannya kali pertama berlaku. Kita telah lapor kepada Jabatan Pendaftararan Negara (JPN) dan SPR. Mengapa sampai hari ini nama tidak digugurkan?” soalnya pada perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat.

Jelas Fuziah, pemegang Mykas kebanyakannya merupakan pekerja asing dan mereka dikecualikan dari bayaran cukai. Mykas mempunyai tarikh luput dan perlu diperbaharui setiap setahun.

Fuziah turut mempersoal keberkesanan sistem Hubungan Terus Agensi (Alis) dengan JPN yang sewajarnya mengemaskini status pemegang Mykas secara automatik.

“Tapi nama pemastautin sementara itu berada dalam senarai daftar pemilih SPR sebagai pengundi sah. Ada orang lain berpeluang menentukan hala tuju negara dan memilih wakil rakyat dan pemimpin.

“Ini menjejaskan keselamatan negara dan merampas hak rakyat Malaysia apabila ada pihak lain yang menentukan sesebuah kerajaan di Malaysia,” tegas Fuziah.KD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan