KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri
Dr Jamaludin Jarjis disenarai sebagai Ahli Parlimen yang menerima elaun
paling tinggi iaitu sebanyak RM27,227.20 sebulan.
Ahli Parlimen Rompin itu menerima jumlah elaun bulanan selaras dengan
tugasnya sebagai Duta Khas Amerika Syarikat di bawah Pejabat Perdana
Menteri.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Mohamed Nazri Aziz mengenai senarai agensi kerajaan, syarikat berkaitan
kerajaan (GLC), Suruhanjaya, Perbadanan dan Lembaga yang melibatkan Ahli
Parlimen atau bekas Ahli Parlimen serta jawatan dan elaun yang dibayar.
Dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen DAP-Batu Gajah Fong Po Kuan,
Nazri berkata sebanyak 16 orang serta bekas Ahli Parlimen terlibat
sebagai angota agensi kerajaan, GLC, Suruhanjaya, Perbadanan, dan
Lembaga dalam pelbagai kapasiti di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Jamaluddin bagaimanapun menurut Nazri tidak menerima sebarang elaun
dengan menjadi Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Berhad.
Selain Jamaluddin, turut tersenarai bekas Presiden MIC Datuk Seri S
Samy Vellu yang menjadi Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalambidang infrastruktur dengan menerima jumlah elaun bulanan yang sama.
Manakala bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting yang juga Ahli
Parlimen Kulai itu menerima elaun RM20,000 apabila dilantik sebagai Duta
Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China.
Selain itu, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
turut dinamakan dengan menjadi Penasihat Khas kepada Perdana Menteri
Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan elaun RM24,022.
Turut tersenarai Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin
yang memegang jawatan sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri
dengan pendapatan elaun RM25,106 sebulan.
Sementara itu, bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar
yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut tersenarai menerima elaun
RM20,000 sebulan atas kapasitinya sebagai Pengerusi Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Tidak ketinggalan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi
yang menjadi Penasihat Pembangunan Wilayah Ekonomi di bawah Unit
Kerjasama Awam Swasta (Ukas) dengan pendapatan RM10,000 sebulan serta
RM3,000 sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan