Ahad, 16 September 2012

Terbit filem hina Nabi Muhammad perbuatan tidak waras - Tok Guru Nik Aziz

TUMPAT – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan individu yang menerbitkan filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang tidak waras.

Nik Aziz berkata, penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW melalui penayangan filem tersebut seolah-olah manusia di muka bumi ini lebih mulia.

“Tidak masuk akal jika kita lebih mulia pada Nabi kerana Nabi dipilih oleh ALLAH sendiri.

“Orang yang hina Nabi ini adalah orang yang berfikiran tidak betul,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia ke- 49 Peringkat Negeri Kelantan di Padang Keretapi Tanah Melayu Berhad di sini, hari ini.

Penerbitan filem berjudul ‘Innocence of Muslims’ membangkitkan kemarahan umat Islam dan seluruh pemimpin dunia mengecam perbuatan yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Treler pendek berdurasi 13 minit yang tersebar melalui perkongsian Youtube itu melabelkan perwatakan Nabi Muhammad SAW sebagai penipu, kaki perempuan dan gila adalah bertentangan dengan peribadi sebenar nabi .SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan