Jumaat, 7 September 2012

Dua ditahan kerana kibar bendera Sang Saka Malaya

Antara yang mengibarkan Sang Saka Malaya malam 31 Ogos lepas...Gambar dari singaselatan.blogspot.com

KUALALUMPUR: Dua orang lelaki yang didakwa mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dalam perhimpunan Janji Bersih pada malam ambang merdeka minggu lalu ditahan polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Assistan Komisioner Aziz Zakaria berkata kedua-dua suspek 24 tahun itu ditahan pada jam 2.35 petang di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Kedua-dua lelaki yang ditahan disiasat bawah Seksyen 9(1)(a) Akta Hasutan, tambah Aziz lagi.

“Kedua-dua suspek kini masih disiasat untuk tindakan susulan selepas mengibarkan bendera Sang Saka Malaya.

“Berkemungkinan akan dibebaskan malam ini dengan jaminan polis. Kedua-dua mereka hadir bersama peguam,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mengaku

Sebelum ini, satu blog http://singaselatan.blogspot.com mengaku mengibarkan Sang Saka Malaya di malam ambang Merdeka.

"Saya dan saudara Zairi shafai adalah individu yang bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dimalam sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka," tulis blog itu.

Namun, katanya, "Kami tidak mewakili mana-mana parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang, kami mewakili golongan Anak Muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab."

Mereka juga mengaku tidak berniat untuk menukar Jalur Gemilang kepada bendera itu apabila berkata, "jauh sekali bermotif untuk menukar jalur gemilang kepada sang saka Malaya, kerana sang saka Malaya yang ditukarkan kepada jalur gemilang hari ini."

Blog itu menafikan mereka ada mengedarkan satu risalah yang mendesak agar Jalur Gemilang digantikan dengan Sang Saka Malaya. (gambar)
Dalam posting terbaru itu, mereka menulis, "Kami anak muda yang bertanggungjawab mengibarkan Sang Saka Malaya agak terpinga-pinga bila dan siapa gerangan yang mengedarkan risalah ini.

"Kami tidak berniat untuk menyeru kerajaan untuk menukar Jalur Gemilang kepada sang saka Malaya.

"Tetapi kami berniat untuk menukar kerajaan kepada kerajaan yang lebih telus."Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan