Khamis, 30 Ogos 2012

Bahana Apabila Sambutan Kemerdekaan Dipolitikkan

Kemerdekaan adalah milik semua rakyat, bukan milik mana-mana kelompok. Apabila sambutan kemerdekaan dijadikan modal politik dan propaganda parti maka ia telah memberi kesan buruk kepada negara.

Menjelang sambutan kemerdekaan, rakyat menjadi keliru, samaada sambut ulang tahun Umno atau ulang tahun kemerdekaan negara. Ini kerana gambar yang dipaparkan di media dan papan tanda ialah gambar Presiden Umno, bukan gambar pejuang kemerdekaan negara yang melawan penjajah, samaada dari puak kanan atau puak kiri.

Rakyat tertanya-tanya mana tokoh Dr Burhanudin Alhelmi, Ahmad Bostaman, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar AlBaqer dan tokoh-tokoh yang lain. Sedangkan tokoh-tokoh ini membeli kemerdekaan dengan harga yang mahal, sehingga terpaksa merengkok di dalam penjara, bukan seperti mana pemimpin Umno yang menyambut kemerdekaan dengan dulang emas.

Kita boleh saksikan saranan kerajaan supaya rakyat mengibar bendera menjadi hambar. Seolah-olah tarikh kemerdekaan 31 Ogos menjadi sejuk di paras beku. Macam mana rakyat hendak merasakan patriotik, anggapan mereka seolah-olah menyambut ulang tahun kelahiran Umno. Tambah pula dengan Tema Kemerdekaan “Janji Ditepati” yang memang jelas untuk menjadi modal kempen menjelang pilihanraya.

Dengan tema ini rakyat yang selama ini sudah benci dengan Umno BN, menambahkan lagi kebencian. Akhirnya mereka telah membuat protes secara senyap, iaitu tidak mengibar bendera.

Ini boleh dilihat sepanjang perjalanan kita ke Lebuhraya selama tiga jam, 100 buah kenderaan yang melalui lebuhraya, agak sukar kita melihat sebuah yang mengibar bendera di kenderaan mereka. Kenapa terjadi demikian?. Jawapannya bukan rakyat tidak sayang kepada kemerdekaan negara, tetapi rakyat sudah benci dengan pemimpin yang mengendalikan program sambutan kemerdekaan negara.

Ustaz Idris Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan