Jumaat, 17 Ogos 2012

Anwar jawab soalan rakyat di Google Hangout 10 malam ini

KUALA LUMPUR 16 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi ahli politik pertama dari Asia Tenggara yang dipaparkan dalam acara Google Hangout, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Program julung kali di Malaysia bermula jam 10.30 malam ini boleh diikuti melalui pautan http://www.youtube.com/user/anwarhangout/featured

“Setakat ini, lebih 700 orang menandakan kehadiran mereka di laman facebook dan jumlah ini dijangka akan meningkat.

“Enam rakyat Malaysia akan muncul sebagai tetamu Google Hangout dari rumah masing-masing. Mereka akan bergilir-gilir bertanya soalan.

“Sebanyak 40 peratus soalan dari ahli panel, 40 peratus (soalan bertulis dari twitter dan facebook) dan 20 peratus (soalan ketika acara berlangsung,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Orang ramai boleh mengemukakan soalan melalui twitter dengan menggunakan hashtag #BorakAnwar atau tulis di laman Google Plus Events iaitu http://is.gd/borakanwar dan facebook iaitu http://tiny.cc/borakanwar.

Program bual bicara secara langsung dari studio TV Selangor di Shah Alam akan dikendalikan Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN, Sharifah Shahidah.

“Acara ini santai, tidak formal. Soalan berkisar mengenai kehidupan di rumah, tentang keluarga, sukan kegemaran. Juga soalan serius termasuk polisi Pakatan Rakyat,” kata Nik Nazmi.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard turut menggunakan Google Hangout untuk berinteraksi dengan rakyat.

Nik Nazmi berkata, ahli dan pemimpin KEADILAN perlu memanfaatkan media sosial seperti facebook dan twitter secara optimum untuk berinteraksi dengan rakyat.

“Sebanyak 80 peratus pengundi muda  termasuk luar bandar menggunakan media baru untuk berkomunikasi. Tapi, pertemuan dan dialog secara langsung bersama orang ramai juga sama penting.

Beliau berkata, acara #BorakAnwar di Google Hangout malam ini hanya permulaan yang bakal melibatkan lebih ramai pemimpin pada masa akan datang.

Selain berkomunikasi secara langsung dan interaktif dengan pemimpin KEADILAN, katanya, arkib dalam Youtube boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat tawaran dan dasar Pakatan Rakyat.

“Program ini anjuran Biro Komunikasi. Ia melibatkan lebih ramai peserta termasuk di luar negara,” katanya.Keadilandaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan