KAHERAH: Setelah tamatnya tempoh mengundi pada jam
10 malam, proses pengiraan undi pusingan kedua pilihan raya Presiden
terus berjalan di setiap pusat-pusat mengundi di seluruh Mesir.
Ia berjalan lancar dan tidak ada sebarang kekacauan besar yang
dilaporkan berlaku setakat ini di seluruh Mesir. Akan tetapi
pertandingan pusingan kedua ini telah menyerlahkan lagi pertembungan
sengit antara calon dari gerakan Islam Ikhwan Muslimin dengan calon yang
ditaja dari saki-baki pimpinan rejim Mubarak serta pihak tentera SCAF.
Proses pengiraan undi berjalan lancar terutama apabila baru-baru ini
Parlimen telah mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan
undi tempat undian itu sendiri bagi lebih menjamin ketelusan dan
mengelakkan sebarang penipuan. Proses pengiraan ini dikawal selia oleh
seorang hakim dan wakil-wakil calon yang bertanding. Salinan keputusan
di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan
ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi
di sepanjang tempoh pengundian.
Keputusan tidak rasmi yang di keluaran setakat ini menunjukkan calon
Ikhwan Muslimin Dr. Mohamad Morsi mendahului di kebanyakan daerah
mengundi. Keputusan awal tidak rasmi mendapati Dr Mohamad Morsi mendapat
52.5% undi iaitu lebih 12.7 juta undi manakala calon tajaan bekas
rejim Mubarak, Ahmed Syafik mendapat 47% undi dengan 11.3 juta undi dan
ketinggalan lebih satu juta undi di belakang Dr. Morsi.
Suasana di pejabat FJP nampaknya ceria dengan berita yang diterima
setiap minit tentang keputusan bilangan undi yang banyak memihak kepada
calon mereka Dr. Morsi. Pemuda-pemuda Ikhwan yang menjadi tenaga penting
sepanjang pilihanraya ini kelihatan amat sibuk menyediakan bahan-bahan
media dan juga melayan ramai pemberita-pemberita tempatan dan
antarabangsa yang berkumpul di pejabat FJP.
Ya,
keputusan tidak rasmi ini yang meletakkan calon Ikhwan Dr. Mohamad
Morsi menang sebagai Presiden pertama dalam sejarah Mesir yang dipilih
secara demokratik oleh rakyat. Kemenangan ini juga bakal menjadi ‘mimpi
ngeri’ bagi Kuasa Barat yang selama ini menjadikan rejim Mubarak sebagai
alat bagi melindungi Israel dan menjaga kepentingan strategik mereka di
Timur Tengah. Begitu juga dengan saki-baki rejim Mubarak yang masih
dapat memperalatkan institusi kehakiman dan polis serta pihak tentera
SCAF yang banyak melakukan tindakan bertentangan dengan perlembagaan
Mesir sendiri bagi melindungi kepentingan kedudukan mereka.
Seperti yang telah dimaklumi, Parlimen Mesir baru sahaja dibatalkan
oleh Mahkamah Perlembagaan Mesir dan pihak tentera SCAF terus
membubarkan Parlimen dengan kuasa yang ada pada mereka. Lebih parah lagi
dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon FJP, pihak
tentera SCAF telah melakukan 8 ‘pindaan kilat’ kepada perlembagaan Mesir
yang dilihat adalah untuk menjamin kuasa yang ada pada pihak tentera.
Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada SCAF
bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa
mengisytiharkan Perang hanya dengan ‘kelulusan’ dari SCAF dan sekiranya
berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak
tentera hanya dengan kebenaran SCAF.
Dari pengamatan saya sepanjang kempen pilihanraya Presiden berjalan,
kuasa-kuasa besar Barat serta sekutunya Israel telah berusaha keras
dengan menjalankan pelbagai propaganda jahat bagi memastikan calon
‘tajaan’ mereka menang dalam pilihan raya ini. Ahmad Syafik telah
diberikan pelbagai publisiti besar oleh media yang masih dikuasai oleh
saki-baki pro-Mubarak. Ia juga turut dibantu oleh media barat
terutamanya BBC dan CNN yang melebalkan Syafik ‘sebagai calon
penyalamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.
Calon Ikhwan FJP Dr. Mohamad Morsi pula, telah di serang habis-habisan
dengan pelbagai tuduhan negatif serta kempen menakut-nakut pengundi
terutamanya dari kalangan yang beragama Kristian akan ‘bahaya’
kemenangan parti Islam yang akan membawa Mesir kembali kepada zaman
unta.
Namun kekuatan jentera pilihanraya dari calon Ikhwan Muslimin peru
diberikan pujian. Mereka telah berjaya menyaingi jentera media barat ini
dengan banyak menggunakan kempen melalui media baru seperti Twitter dan
Facebook. Bgitu juga dengan kempen dari rumah ke rumah yang dijalankan
oleh pemuda dan muslimat ikhwan di seluruh pelosok Mesir tanpa mengenal
penat an lelah telah menampakkan hasil yang positif.
Keputusan rasmi penuh hanya akan diumumkan pada Khamis depan oleh
Suruhanjaya Pilihanraya Mesir. Namun keputusan tidak rasmi yang
didapati setakat ini menunjukkan bahawa Mesir selepas kejatuhan rejim
zalim Mubarak akan terus berubah dengan “Kuasa rakyat’ akan terus
memimpin. Masa depan Ikhwan Muslimin dan gerakan Islam adalah cerah
setelah mereka kini dapat sedikit bernafas dengan bebas dan telus di
medan demokrasi yang disanjung Barat. Kemenangan calon Ikhwan ini juga
akan juga menjadi inspirasi dan semangat kepada PAS bagi menghadapi
PRU13 akan datang di negara kita Malaysia. Tahniah Dr. Morsi...Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan