RANTAU PANJANG, 4 April: Bosan dengan konflik yang
tiada penghujung melanda Umno bahagian ini menyebabkan ramai pemimpin di
peringkat akar umbi bertindak keluar daripada parti tersebut.
Bagi mereka hubungan dingin Ketua Bahagian, Abdullah Mat Yassin dan
bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail tidak mampu dipulih lagi,
biar pun ada kenyataan menggambarkan keadaan sebaliknya.
Bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Kedap, Abdul Rashid Daud
berkata, permusuhan di peringkat bahagian belum reda kerana
masing-masing mahu menjadi ketua.
Katanya, situasi itu sudah merebak ke peringkat akar umbi sehingga
menyebabkan aktiviti parti tidak dapat diadakan seperti biasa.
“Pemimpin Umno Rantau Panjang tidak berkesudahan bermusuhan sesama sendiri. Sedangkan PAS nampak lebih padu perjuangan mereka.
“Sebab itulah kami merasakan tidak teragak-agak dan tiada sebab tidak
mahu menyokong PAS. Perjuangannya bersandarkan agama,” katanya ketika
ditemui selepas majlis penyerahan borang menyertai PAS beramai-ramai
malam tadi.
Seramai 69 ahli dan penyokong Umno dari Cawangan Kampung Dangar dan
Kampung Kedap menyerah borang menyertai PAS di majlis tersebut.
Borang berkenaan diserah Wan Zaidi Wan Hanapi kepada Mursyidul Am
PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis yang diadakan di
rumah bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Dangar, Ismail Daud.
Hadir sama Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Speaker
Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Adun Gual
Periok, Ustaz Mohamad Awang.
Sebelum ini konflik yang melanda Umno Rantau Panjang mengundang
campur tangan Perhubungan Umno Kelantan. Biar ada kenyataan hubungan
Abdullah dan Mohd Zain sudah pulih, namun keadaan di akar umbi
menggambarkan sebaliknya.
Sementara itu di Kubang Kerian difahamkan lebih 300 bekas ahli dan
penyokong Umno di bahagian terbabit dijangka menyerah borang menyertai
PAS dalam masa terdekat ini. Sempena program itu diadakan ceramah
perdana dihadiri Menteri Besar.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan