Sabtu, 24 Mac 2012

Hutang negara: Dapat dari mana, ke mana dibelanja?

Statistik hutang negara 2007 - 2011

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Teras Pengupayaan Melayau (Teras) berpendirian pengumuman Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussain bahawa hutang kerajaan masih tidak kritikal kerana kurang 2 peratus di bawah had 55 peratus dari KDNK dan tidak membimbangkan, adalah sangat tidak bertanggungjawab.

“Pertanyaan yang tidak dijawab ialah ke manakah wang yang diperolehi dengan berhutang itu dibelanjakan dan siapa yang menentukan perbelanjaan tersebut?” tanya Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sepatutnya, kata beliau pihak perbendaharaan negara memastikan ia dibelanjakan mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, dengan hanya selisih 2% dari tahap kritkal 55% KDNK menunjukkan perbendaharaan negara cuai dengan kedudukan hutang negara.Itupun Teras mempersoalkan atas kriteria apa 55% itu ditentukan?” soalnya lagi.

Beliau berkata, persoalan yang lebih kritikal ialah apakah kerajaan berbelanja berdasarkan bajet yang diluluskan atau sebaliknya (on budget atau off budget).

Katanya, pihak perbendaharaan negara yang kini dibawah kuasa PM kerana beliau adalah juga Menteri Kewangan jelas telah membiarkan hutang bertambah bila defisit dicampur dengan berbelanja lebih dari yang dibenarkan.

Kini, ujarnya apa yang menjadi tanda tanya ketika kerajaan berbelanja lebih dari yang dibenarkan siapakah yang memberi kebenaran untuk berbuat demikian.


“Inilah sebabnya Teras melihat bahawa dalam isu hutang kerajaan yang kini hanya berada 2% di bawah had yang dibenarkan, ternyata tidak ada semak dan imbang (check and balance) lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kini rakyat berhak untuk tahu bagaimana wang negara yang diperolehi dari hutang dan dibelanja sebabnya rakyatlah yang akan menanggung hutang tersebut.

“Inilah yang disebut sebagai pembiayaan hutang (debt financing) yang akan terbeban kepada setiap orang rakyat sesebuah negara,” ujarnya.Untuk membayar hutang, tambahnya perbelanjaaan tambahan perlu dikeluarkan dan rakyatlah yang akan menerima beban hutang yang diambil oleh kerajaan.

Katanya, ketika mana hutang kerajaan bertambah bermakna wang rakyat akan diguna untuk membiaya hutang tersebut.Di Amerika, ujarnya ada maklumat setiap hari yang disebut “U.S. NATIONAL DEBT CLOCK”.

Menurutnya, pada 23hb Mac 2012 jam 10.30.06 petang GMT hutang awam ialah USD15,589,100,336.066.82, juga mencatat populasi Amerika sekarang ialah 312,453,854, maka setiap warga Amerika menanggung hutang tersebut sebanyak USD49,892.19 pada hari tersebut.

Jelasnya, hutang Kerajaan Amerika terus meningkat secara purata USD4.02 billion sehari sejak 28 September 2007.Ujarnya, setidak-tidaknya warga Amerika mempunyai maklumat mengenai hutang kerajaan setiap hari dan apa implikasinya terhadap setiap individu warganya.

“Di Malaysia maklumat ini bukan sahaja sukar untuk dioperolehi, malah dimanipulasi seolah-olah semuanya dalam kedaan terkawal,” ujarnya.Justeru, ujarnya Teras menggesa agar rakyat perlu menzahirkan keprihatinan mereka mengenai kepincangan perbelanjaan yang akan menjejaskan kedudukan kewangan negara sekaligus kesejahteraan rakyat.

“Jika rakyat membisu dan tidak peka dengan uruskelola kewangan negara, masa depan rakyat bakal menghadapi keadaan yang tidak menentu, jangan membayangkan situasi seperti Greece tidak akan berlaku di Malaysia,” katanya.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan