Selasa, 31 Januari 2012

Presiden Pas Mengulas Keputusan MB Selangor Pegang Exco Agama

GOMBAK, 31 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memegang sendiri potfolio agama Islam di negeri itu sebagai sangat molek.

Menurutnya, dengan kelebihan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang selalu berjumpa dengan Sultan, ianya akan memudahkan lagi urusan agama di negeri itu.

"Kita kena tahu di Selangor agama di bawah bidang kuasa raja melalui majlis agama.

"Kita nampak Tan Sri Khalid ini orang paling rapat dengan Sultan, dia paling kerap jumpa Sultan, jadi moleklah orang paling acap jumpa sultan (pegang exco agama)," katanya dalam pertemuan dengan Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pihak tertentu khususnya Umno sebelum ini kononnya PAS dipinggir kerana tidak diberi portfolio agama kepada exco dari parti itu.

Isu tersebut timbul selepas Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco Selangor menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Bagaimanapun, portfolio hal ehwal Islam yang sebelum ini di bawah Hasan kemudiannya diletakkan dibawah menteri besar sendiri manakala Dr Yunus dilantik memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Melayu.

Peluang itu sekaligus digunakan Umno dengan mendakwa PAS hilang potfolio agama.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata, siapapun yang dilantik sebagai ketua tidak penting, namun yang lebih penting adalah siapa yang akan menjalankan tugas exco itu.

Sebab itu katanya, PAS masih berperanan besar apabila Menteri Besar melantik Adun Bangi Dr. Shafie Abu daripada PAS sebagai Pembantu Exco Agama.

"Cumanya kita lantik siapa bawah Tan Sri Khalid, ini yang penting. Setengah orang kita ni tak nampak (siapa) yang kena buat kerja, nak tengok siapa (ketua).

"Lagipun pilihan raya umum dekat dah," katanya sambil menyifatkan keputusan itu juga sebagai strategi pilihan raya.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan