Sabtu, 14 Januari 2012

Pemuda Pas Lebih Hebat Dari Pemuda Umno

KUALA LUMPUR, 14 Jan: “Dalam perhatian saya, Pemuda PAS sudah popular dalam meletakkan sayap kanan parti itu sebagai penggerak parti,” kata Mohd Sayuti Omar.penulis veteran itu, orang sudah kenal malahan kalau dibandingkan dengan Pemuda Umno, penampilan Dewan Pemuda PAS jauh lebih ke depan dan beriltizam.

“Hebatnya dalam keadaan ketiadaan wang berbanding dengan pemuda Umno mereka berjaya membuat beberapa program yang menjadikan pemuda menjadi perhatian umum,” tulis beliau di dalam blognya, Merah Tinta.Misalnya, kata  beliau himpunan (itjimak) Tarbawi sesuatu yang dibanggakan.

Katanya, kejayaan Pemuda PAS menghimpun anak muda sampai puluhan ribu dan berjaya menyuntik ilmu, semangat dan doktrin politik Islam.“Kejayaan ini jangan dipandang remeh dan diperlekehkan. Kerana benih yang disuntik Pemuda itulah akan berkembang dan merendangkan bumi ini (PAS) di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyentuh perkara yang sama semasa menghadiri Majlis Hi Tea Bersama Media anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) di sebuah hotel di sini, petang semalam.

“Saya rasa perlu hadir untuk mendapat pandangan balas atau melihat bagaimana wajah anak-anak muda dalam PAS ekoran kritikan pedas saya kepada ketua mereka, Nasrudin Hassan Tantawi beberapa hari lalu. Saya mahu tengok apakah ada yang datang dengan muka masam.

“Alhamdulillah semua okey. Saya disambut dengan penuh mesra. Seolah tidak ada apa-apa yang berlaku. Nampaknya Pemuda menerima saya sebagai penulis veteran yang mereka tidak perlu berkecil hati atau terasa hati dengan apa yang saya nukilkan,” tulisnya lagi.

Namun, beliau merasa hairan kerana beberapa blogger politik terutamanya yang pro PAS tidak ada muka mereka walaupun turut diundang.“Saya rasa blogger mapan atau semi veteran dalam PAS atau pro PAS patut hadir sama kalau mereka dijemput,” katanya lagi.

Ujarnya, seorang petugas memberi tahu mulanya ada blogger atau wartawan kanan hendak datang tetapi membatalkan diri saat-saat akhir.Baginya, anak-anak muda itu perlu digauli dan dimesrai untuk mengetahui pemikiran dan juga wawasan mereka.

“Saya tengok mereka sudah membentangkan idea yang baik untuk menggerakan parti dan perjuangan tetapi masih ada ruang-ruang yang perlu diperkemaskan,” ujarnya lagi.Tambahnya, padangan atau teguran terhadap kelemahan itulah yang diperlukan mereka.

Katanya, pada kesempatan menyertai majlis itu, beliau sempat memberi pandangan kritikal kepada Pemuda dalam sudut-sudut tertentu“Nampaknya mereka dapat menerima dengan baik apa yang saya katakan. Tidak tahulah apakah di lain kali mereka akan panggil saya lagi, maklumlah saya bercakap secara terus terang,” tulis beliau seterusnya.

Beliau turut memberi pandangan mengenai filem pendek ‘Oley’ yang diterbitkan DPPM.Sayuti mencadangkan supaya para pelakon bukanlah dari kalangan pemimpin utama seperti ketua dan timbalan di dalam sesuah filem.

Lantas cadangan itu disambut pengerusi majlis, Pengarah Pilihan raya DPPM, Mohd Sany Hamzan,” aku pun boleh berlakon juga”.Turut diminta pandangan ialah wartawan Berita Harian, New Straits Times dan The Oriental Daily.

Sementara itu, Ketua DPPM, Nasrudin Hassan berkata, majlis bersifat mahabbah yang diadakan itu bertujuan membina hubungan yang lebih mesra antara pihaknya dengan media yang sebelum ini sudahpun terjalin baik.

Hadir sama ialah timbalan dan naibnya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz dan Dr Raja Ahmad Iskandar serta ketua penerangan, Riduan Mohd Nor dan bendahari, Ir Khairul Nizam Khirudin.Katanya, DPPM juga mahu mendapat pandangan balas daripada pihak media melalui majlis tersebut.

“Kami mengalu-alukan pandangan luar kotak bagi meningkatkan prestasi jika ada apa-apa kekurangan,” ujarnya.Beliau juga mengharapkan pihak media memberi gambaran yang baik dan jelas kepada aktiviti-aktiviti DPPM.Justeru, kata Nasrudin, pihaknya tidak mahu pujian yang berlebihan atau tindakan mengampu daripada pihak media berhubung perkara itu.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan