ALOR SETAR - Orang luar tidak perlu masuk campur urusan pentadbiran
Kerajaan Negeri termasuk isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kerana
pihaknya lebih tahu situasi yang berlaku berbanding pihak-pihak lain.
Mengulas gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, Menteri Besar Datuk Seri
Azizan Abdul Razak berkata, sepatutnya, pakar perlembagaan itu lebih
mengetahui selok-belok undang-undang dan keputusan mahkamah dan oleh
itu, tokoh akademik berkenaan tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan
pengurusan Kuin menggantung lima pelajarnya.
“Kita tidak akan layan segala desakan untuk menarik balik keputusan
yang sudah dibuat. Lagipun isu ini sudah lama,” kata beliau ketika
dihubungi Sinar Harian semalam.
Azizan diminta mengulas kenyataan Aziz dalam Wacana Sinar Harian
kelmarin yang mencadangkan Pakatan Rakyat (PR) mengambil tindakan
terhadap Azizan kerana menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti
(Auku) untuk menggantung enam pelajarnya sedangkan perikatan itu
mendesak akta tersebut dimansuhkan.
Sebelum ini, dalam perbicaraan pada 25 Mei lalu, enam pelajar kolej
universiti itu digantung pengajian dan seorang dikehendaki membayar
denda.
Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Muhamad Aiman Che
Abd Razak, Zukhilatif Marzuki, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Mohd
Arof digantung satu semester dan diberi surat amaran.Seorang lagi, Mohamad Farhan Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.
Mereka didakwa mengikut kesalahan di bawah Auku kerana menyertai
demonstrasi, memberi ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar
suara di sudut pidato dan mengadakan sidang media. Mereka didapati terlibat dalam demonstrasi bertujuan menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari.
Azizan yang juga Pengerusi Kuin turut menganggap kes enam pelajar
terbabit selesai setelah mereka dikenakan tindakan tata tertib termasuk
digantung pengajian manakala seorang lagi dikehendaki membayar denda."Kita tidak mahu melayan sebarang isu itu kerana mahkamah sudah menetapkan hukuman setimpal ke atas pelajar terbabit.SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan